Majlis konvo maya rai 31 pelajar

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), baru-baru ini, telah mengadakan majlis konvokesyen pertama secara maya bagi 31 orang pelajar dari institusi-institusi berkenaan yang telah menamatkan program khas selama 10 bulan iaitu Program Antarabangsa Universiti Osaka: Sains, Teknologi dan Inovasi Halal (OUICP-HaSTI) yang dihoskan oleh Universiti Osaka (OU) Jepun.

Majlis yang turut mengalu-alukan kumpulan kedua program berkenaan telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Naib Presiden Eksekutif Global Engagement, OU, Profesor Dr Genta Kawahara; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan wakil naib canselor dari UBD dan UTB.

Dr Haji Azman dalam ucapannya menjelaskan, program tersebut mengukuhkan kerjasama antara OU dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dalam kerjasama melalui penggunaan kolaborasi digital.

Jelasnya lagi, program berkenaan telah bermula pada 2018 ketika OU buat julung kalinya menyatakan minat untuk bekerjasama dengan IPT tempatan dan sehingga wujudnya penubuhan Kampus ASEAN Universiti Osaka.

Dr Haji Azman turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada OU atas sumbangan mereka dalam inisiatif berkenaan yang sangat selaras dengan rancangan strategik Kementerian Pendidikan, khususnya untuk meningkatkan perkembangan pengajaran dan pembelajaran dengan memperkuatkan sokongan dan penglibatan pihak berkepentingan.

Sepanjang empat tahun ini, kerjasama berkenaan telah meraih beberapa pencapaian, inisiatif dan perkembangan berterusan menerusi pengenalan banyak program seperti penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, program bahasa Inggeris dan kini OUICP-HaSTI.

Kenyataan menjelaskan bahawa OUICP-HaSTI adalah program pendidikan yang dimulakan oleh Kampus ASEAN Universiti Osaka dengan kerjasama rakan sejawat di negara-negara ASEAN.

OU mengeluarkan sijil setelah pelajar berjaya menamatkan program dalam bidang tertentu dengan enam hingga lapan kredit. Secara amnya, OUICP-HaSTI ditawarkan kepada pelajar kampus bersama universiti-universiti rakan dan pekerja (bukan pelajar) yang mendapat sekurang-ku-rangnya Ijazah Sarjana Muda.

Program berkenaan bertujuan untuk menyumbang kepada penyelesaian masalah di rantau ASEAN sementara menumpukan terhadap keperibadian masyarakat dan budaya setiap negara dan mengembangkan infrastruktur untuk memberikan manfaat kepada masyarakat melalui pendekatan inovatif antarabangsa.

Dr Haji Azman semasa menghadiri majlis konvokesyen pertama secara maya bagi para pelajar yang menamatkan Program OUICP-HaSTI yang dihoskan oleh Universiti Osaka, Jepun, baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA