Majlis korban rancak dilaksanakan

Oleh Sim Y. H., Daniel Lim, Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Majlis-majlis ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha terus rancak dilaksanakan oleh berbagai-bagai pihak, hari ini, seperti Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKP Yayasan).

Sembilan ekor kerbau dan seekor kambing daripada 64 penyertaan telah dikorbankan bagi majlis berkenaan yang berlangsung di Rumah Semaun, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi IslamYSHHB (PPKKI Yayasan), Jalan Perdana Menteri, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian agihan daging korban ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Turut mengadakan majlis seumpamanya, hari ini, adalah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, tujuh ekor kerbau dikorbankan pada majlis berkenaan dan diagih-agihkan kepada lebih 30 orang penerima yang terdiri daripada mereka yang kurang bernasib baik dan ahli-ahli keluarga penerima BIBD ALAF.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Mufti Kerajaan selaku Timbalan Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan.
Dato Seri Setia Dr Haji Japar menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima di majlis berkenaan.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz mengagihkan daging korban kepada salah seorang peserta korban.
Bungkusan daging yang tersedia untuk diagihkan kepada anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.
Haji Osmera mengagihkan daging korban kepada imam Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Pada majlis itu juga, BIBD turut menyerahkan sebanyak 150 buah buku Yasin kepada Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Sementara itu, enam ekor kerbau telah dikorbankan bersempena Majlis Ibadah Korban anjuran bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Majlis Perundingan Kampung Mulaut.

Majlis pengagihan daging korban berkenaan diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof yang turut menyempurnakan pengagihan daging korban.

Seramai 42 orang peserta terlibat dalam ibadah korban pada tahun ini dan daging-daging korban diagihkan kepada para asnaf dan mereka yang layak di kawasan sekitar.

Di Daerah Belait, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) juga tidak ketinggalan mengadakan majlis ibadah korban yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam untuk memberi balik kepada masyarakat semasa sambutan Hari Raya Aidiladha.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) dan Sekuriti BSP, Haji Osmera bin Haji Othman selaku wakil kepimpinan BSP, yang turut menyampaikan daging korban kepada Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Akup bin Haji Lamat.

Acara berkenaan merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti pelaburan sosial tahunan yang dijalankan oleh BSP untuk menggalakkan dan menarik penyertaan kakitangan BSP dan keluarga mereka serta masyarakat.