Majlis Malam Munajat terima sambutan menggalakkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Majlis Malam Munajat yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal (KHEU) setiap Sabtu terus mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan warga KHEU dan orang ramai secara maya, malam tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, majlis malam tadi turut membawakan bacaan Selawat Munjiyyah beramai-ramai bagi menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada Baginda Rasulullah SAW.

Majlis telah disertai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mengingatkan para peserta akan niat dan objektif utama penganjuran munajat berkenaan iaitu niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Dalam suasana negara yang menghadapi COVID-19, beliau menegaskan, selain usaha-usaha kerohanian, dampingkan diri juga dengan usaha-usaha perubatan kesihatan dan langkah-langkah supaya rakyat dan penduduk negara ini dilindungi oleh Allah SWT.

“Dengan usaha-usaha praktikal dan kerohanian seperti ini Insya-Allah, Allah SWT tidak akan membiarkan kitani terkapai-kapai dalam keadaan yang tidak ada pertolongan, melainkan Allah jua yang menolong kita,” ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut serta pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) iaitu Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad; Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari dan Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Jerman, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Kertini binti Pengiran Haji Tahir; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; dan Penolong Mufti (Buhuth) Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusuf.

Majlis berkenaan mengajak warga KHEU dan orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat dan merafakkan doa secara beramai-ramai dengan doa dan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Mufti Kerajaan bersama warga KHEU semasa majlis malam munajat yang diadakan secara maya. – Gambar serahan KHEU