Majlis memorial memperingati tentera Australia terkorban

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Amerika Syarikat di negara ini hari ini, mengadakan Majlis Memorial Operasi OBOE VI bagi memperingati tentera Australia yang terkorban di Teluk Brunei dalam perjuangan mereka untuk menamatkan Perang Dunia Kedua, di Tugu Memorial Brunei-Australia.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud. Majlis memperingati bagaimana tentera Australia disokong oleh tentera Amerika mendarat di sana pada 10 Jun 1945.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum dalam ucapannya menyentuh pentingnya memperingati Operasi OBOE VI.

Memorial Brunei-Australia mengimbas kembali sejarah 75 tahun yang lalu apabila lebih 75,000 orang tentera Australia menyertai Operasi OBOE VI berjuang di Teluk Brunei dan Borneo bagi menamatkan Perang Dunia Kedua.

“Dengan adanya majlis hari ini, ia merupakan satu peluang untuk kita mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dan Australia, dimana kedua-dua buah negara telah membangunkan kerjasama ketenteraan yang sangat efektif menyumbang kepada keselamatan dan kemakmuran,” ujar PYT Nicola.

Manakala Charge d’Affaires di Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Scott Woodard juga berucap ringkas mengenai peranan Operasi OBOE VI, yang melibatkan seramai 28,000 orang tentera Amerika Syarikat.

Seramai 42 orang tentera laut dan tentera darat telah terkorban dalam operasi berkenaan, 16 orang daripada mereka terkorban semasa Operasi OBOE VI dan 26 lagi terkorban di Teluk Brunei sebulan selepas operasi berkenaan. Manakala sebahagiannya lagi diselamatkan penduduk tempatan.

Scott Woodard ketika berucap di Tugu Memorial Brunei-Australia.
Pemerintah ABDB dan PYT Nicola Rosenblum bergambar ramai pada majlis tersebut.