Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Sempena memperingati Hari Perwira dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2022, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan acara ringkas di suruhanjaya berkenaan di Jalan Sungai Akar di samping program dalam talian, kelmarin.
Program itu diadakan secara online dan dihoskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Majlis dimulakan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan Bangladesh separuh tiang yang disempurnakan oleh PYT Nahida Rahman Shumona sambil disaksikan oleh pegawai dan kakitangan suruhanjaya tinggi, para tetamu khas dan warganegara Bangladesh.
Pada majlis itu, Puan Yang Terutama juga mengetuai perarakan untuk meletakkan kalungan bunga di pentas khas bagi memperingati perwira-perwira yang diraikan.
Kemudian majlis disusuli dengan bacaan ucapan daripada presiden, perdana menteri, menteri hal ehwal luar dan menteri negara bagi hal ehwal luar kerajaan Bangladesh.
PYT Nahida Rahman Shumona juga menyentuh mengenai pentingnya untuk memperingati hari penuh signifikan iaitu Hari Perwira dan Bahasa Ibunda serta peranan yang dimainkan oleh Bapa Negara, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman di mana dengan kepimpinannya, Bangladesh telah mencapai kemerdekaan berasaskan kepada bahasa, budaya dan identiti mereka sendiri.
Sementara itu, segmen secara maya yang dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama telah diisikan dengan pelbagai acara termasuk sesi seminar melibatkan perwakilan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Antara persembahan dalam segmen khas berkenaan ialah deklamasi puisi oleh Dayang Hanny Bahriyah binti Haji Awang dari ReLA; tarian kebudayaan oleh Yajnasri Karri yang merupakan warga India; pembacaan Novel Grafik “Mujib”, mengisahkan kehidupan Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman yang dipersembahkan oleh pelajar Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS); persembahan muzik oleh Persatuan Muzik Brunei dan akhir sekali lagi persembahan pelajar dari La Vida.