Majlis Mesyuarat Negara: Demokrasi Ala Brunei

Oleh Dr. Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

SEJAK Negara Brunei mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang menjadi asas kepada pencapaian pemerintahan kerajaan sendiri pada tahun 1959 terus berperanan dalam mengekalkan status kedudukan Negara Melayu Islam Beraja.

Perlembagaan yang telah dimasyhurkan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 29 September 1959 telah menjalani beberapa pindaan kecil setelah Brunei mencapai kemerdekaan pada tahun 1984 sesuai dengan iklim perkembangan dunia moden masa kini.

Perlembagaan bertulis ini adalah undang-undang paling tertinggi bagi Negara Brunei Darussalam yang menjadi sandaran kepada keutuhan Negara Melayu Islam Beraja hasil dari satu perjuangan adil dan suci Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien untuk ditinggalkan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Dengan bertitik tolak dari perjuangan yang bermula dari tahun 1953 ini membolehkan kita mencapai pemerintahan status berkerajaan sendiri pada tahun 1959 dan menjadi negara yang merdeka dan berdaulat pada tahun 1984.

Selaras dengan pencapaian kemerdekaan Brunei maka gelaran bagi Perlembagaan Negeri Brunei 1959 telah diubah menjadi Perlembagaan Negara Brunei (Dokumen-Dokumen Perlembagaan, Negara Brunei Darussalam). Pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Brunei 1959 ini telah dibentangkan untuk dibahaskan dan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Negara Pertama pada 25 September 2004.

Pada tahun 2004 adalah titik perkembangan baru dalam sistem pemerintahan beraja di Negara Brunei Darussalam apabila Baginda Sultan berkenaan menghidupkan semula Majlis Mesyuarat Negeri setelah dibubarkan sebelum pencapaian kemerdekaan pada tahun 1984. Majlis ini kemudiannya dikenali Majlis Mesyuarat Negara (MMN) selaras dengan kewujudan Negara Melayu Islam Beraja.

Kewujudan MMN adalah bertujuan untuk melibatkan rakyat dan penduduk negara ini untuk sama berperanan dalam membangun negara ini selaras perkembangan dunia moden masa kini. Perkara ini pernah dititahkan dalam Persidangan Ketua-Ketua Negara Ke-4, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Casablanca, Maghribi dua minggu selepas Brunei mencapai kemerdekaan iaitu pada 16 Januari 1984.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang hadir ketika perasmian MMN kali keempat baru-baru ini. – Gambar Muiz Matdani

Dalam titahnya Baginda Sultan menjelaskan status Brunei untuk terus mengamalkan dan mempraktikkan konsep Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara sebagaimana yang telah dimasyhurkan pada tahun 1984. Antara titah Baginda:

“Di dalam pengisytiharan kemerdekaan kami dua minggu yang lalu, kami mengatakan kedudukan negara kami sebuah Negara Islam Beraja. Pada masa yang sama, ianya juga menunjukkan minat dan usaha sejati kami demi membina ikatan yang erat dengan saudara-saudara Islam kami, berdasarkan saling hormat menghormati bagi kedaulatan dan keutuhan negara, berdasarkan saling patuh mematuhi terhadap prinsip-prinsip hak dan kebebasan, persamaan dan tidak ikut campur dalam hal-ehwal dalam negara-negara lain”.

Pendirian Brunei untuk terus mengamalkan pemerintahan sistem beraja telah diikrarkan dalam pemasyhuran kemerdekaan 1984 dan seterusnya ketika Baginda bertitah di Dewan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rakyat dan penduduk negara ini yakin bahawa bentuk kerajaan yang diwarisi 600 tahun yang lalu mampu dan sesuai dalam menanai dan juga menghadapi cabaran-cabaran era globalisasi masa kini demi survival Brunei sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dengan mengamalkan sistem beraja, ala demokrasi Brunei selaras dengan deklarasi kemerdekaan yang dilafazkan pada malam 1 Januari 1984 antara lain berbunyi bahawa:

“…tahun yang ke tujuh Beta di atas Takhta Kerajaan, Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kornia Allah Subahanahu Wata’ala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan pertunjuk serta keredhaan Allah subhanahu Wata’ala jua…”

Ternyata bahawa dengan sistem beraja yang diwarisi ini rakyat dan penduduk Negara ini akan diberi ruang dan kesempatan dalam memberi idea dan juga pendapat mengenai hal kemasyarakatan dan kenegaraan berdasarka demokrasi ala Brunei.

Ini membuktikan sistem pemerintahan beraja adalah masih sesuai diamalkan dalam era globalisasi masa kini bahkan dapat mewujudkan keamanan dan kemakmuran kehidupan masyarakat Brunei.

Dalam hal ini Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah mengenai hasrat dan cita-cita Baginda bagi memberi peluang kepada rakyat supaya sama-sama berkerjasama dan bergading bahu dalam memikul tanggungjawab sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, sebagaimana titah Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Penandatanganan Pemasyhuran Perlembagaan Negara Brunei Darussalam (Pindaan), 2004 di Lapau, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam Pada Hari Rabu 14 Sya’aban 1425 bersamaan 29 September 2004 bahawa kewujudan semula MMN adalah bertujuan:

Dengannya juga, dapatlah Beta memikirkan, bagaimana rakyat – dengan pelbagai cara – dapat melibatkan diri dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam. Ini, telah Beta bayangkan dalam titah sambutan hari keputeraan yang lalu, bahawa Beta berhasrat untuk mewujudkan struktur perundingan yang lebih formal, iaitu dengan mengadakan semula Majlis Mesyuarat Negara. Persidangan hari ini adalah merupakan permulaan proses ke arah yang Beta hasratkan.

Bagi mencapai ke arah matlamat dan hasrat ini maka Baginda telah melantik beberapa orang ahli sebagai mewailiki rakyat dan penduduk negara ini bagi menyampaikan apa jua idea dan pandangan yang membangun untuk disampaikan kepada pihak pemerintah. Baginda Sultan telah mengingatkan ahli yang dilantik mewakili rakyat dan penduduk negara ini supaya dapat menyampaikan pandangan dan pendapat mereka secara telus dan ikhlas tanpa perasan takut-takut demi kepentingan masyarakat dan negara.

Perkara yang selalu dititahkan oleh Baginda setiap tahun apabila MMN dirasmikan setiap tahun, antara lain Baginda bertitah Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Permesyuartan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin 17 Jamadilakhir 1439 bersamaan 5 Mac 2018:

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini. Beta berharap majlis akan dapat bersidang dengan ahli-ahli semua dapat mengemukakan buah fikiran serta seterusnya mencadangkan perkara-perkara yang dapat membawa perubahan-perubahan besar kepada negara.….Beta ingin melihat, di dalam Dewan yang mulia ini, semua ahli akan terlibat memberikan pendapat atau pandangan tanpa takut-takut atau ragu-ragu demi kebaikan bersama dan Negara.

Antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang telah dilantik atas perkenaan Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet, Orang-Orang Yang Bergelar, Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan; dan Wakil dari empat daerah di Negara Brunei Darussalam yang melambangkan penyatuan dan kesatuan bangsa Brunei.

Dengan hal itu, melalui kewujudan dan perlantikan ahlli-ahli yang berhormat dalam pemeritahan sistem beraja di negara ini dapat membuktikan kepada dunia antarabangsa bahawa kita juga mengamalkan sistem demokrasi yang bercalak keBruneian yang menekan kepada konsep muzakarah dan musyawarah seperti yang pernah diamalkan dalam pemerintahan Khulafa Al-Residen di Kota Madinah Munawarrah berdasarkan ajaran Islam.

Inilah demokrasi ala Brunei bahawa perwakilan rakyat yang dilantik akan menyuarakan apa jua permasalahan dan cadangan yang perlu diadakan demi kesejahteraan dan pembangunan rakyat dan negara ini. Demokrasi ala Brunei yang menekankan nilai-nilai keBruneian bersandarkan MIB dalam persidangan yang penuh tertib dan beradab keMelayuan yang menggambarkan ketulusan dan kecantikan sistem demokrasi berteraskan keIslaman.

Oleh itu, ahli-ahli mesyuarat yang telah dilantik oleh Baginda Sultan mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang telah ditetapkan berdasarkan kepada ketentuan dalam Dokumen-Dokumen Perlembangaan Negara Brunei Darussalam seperti dinyatakan dalam Bahagian VII, Pekara 53 (1) Tertakluk kepada Fasal (1A), tiap-tiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara boleh menyatakan pendapatnya dengan bebas di dalam Majlis Mesyuarat Negara atau mana-mana jawatankuasanya, tentang apa jua perkara yang dihadapkan dalam Majlis itu.

Perlu juga diingatkan bahawa berdasarkan Dokumen-Dokumen Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dalam kaitannya dengan kedudukan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) yang menjadi falsafah Negara Brunei Darussalam telah tercatat bahawa dalam Bahagian VII, Perkara 42 Jenis Rang Undang-Undang, usul dan petisyen yang tidak boleh dibahaskan tanpa titah perkenan.

(1) Kecuali dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan yang didapatkan terlebih dahulu, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara tidaklah boleh memperkenalkan atau Mencadangkan, dan Majlis Mesyuarat Negara tidaklah boleh membahaskan, sebarang Rang Undang-Undang, apa-apa pindaan kepada sebarang Rang Undang-Undang, usul, petisyen atau urusan yang, pada pendapat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, termasuk dalam mana-mana jenis yang berikut-

(e) sebarang Rang Undang-Undang, usul, petisyen atau urusan yang mungkin mempunyai kesan merendahkan atau menjejaskan secara langsung atau tidak langsung kedudukan atau keunggulan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja (dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Malay Islamic Monarchy);

Dalam Bahagian VII, Perkara 63 mengenai keistimewaan-keistimewaan Ahli-Ahli Majlis Negara (1A) Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga tidak boleh bercakap atau membuat sebarang ulasan mengenai :

(a) yang secara langsung atau tidak langsung mengurangkan hak-hak, taraf, kedudukan, kuasa-kuasa, keistimewaan-keistimewaan, kedaulatan atau hak mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pengganti-Pengganti Baginda, Permaisuri Baginda atau ahli-ahli Kerabat Diraja yang lain atau Falsafah Negara Melayu Islam Beraja atau Inilah warisan tradisi yang perlu kita pertahankan yang menjadi sumber kepada perpaduan dan kestabilan politik di Negara Brunei Darussalam yang sentiasa selaras dengan arus kemodenan.

Ini bermakna bahawa sistem beraja akan terus subur tumbuh di bumi Brunei Darussalam sebagaimana yang telah dititahkan oleh Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai tempat meraih amal kebajikan untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.