Majlis PBB sokong duta Yaman

NEW YORK, 11 JUN – Majlis Keselamatan PBB semalam menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap duta PBB untuk Yaman selepas beliau menerima kritikan hebat daripada presiden Yaman. Perbalahan berkenaan mengancam akan menjejaskan usaha untuk melaksanakan satu gencatan senjata yang dipersetujui pada Disember di Sweden.

Dalam satu kenyataan, ahli majlis ‘menekankan sokongan penuh’ mereka untuk duta Martin Griffiths dan ‘menyeru parti supaya berhubung secara positif’ dengan beliau.

Kenyataan itu menyusuli rundingan di Riyadh di antara ketua politik PBB Rosemary DiCarlo dengan menteri luar Saudi dan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi, pemimpin Yaman yang disokong oleh Saudi, untuk meredakan perbalahan.

Menteri Luar Saudi Ibrahim al-Assaf dan Abdel Aziz Hamad Aluwaisheg dari Majlis Kerjasama Teluk ‘menyatakan sokongan mereka terhadap kerja-kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Yaman dan usaha duta khas itu,” kata jurucakap PBB Eri Kaneko. – AFP