Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Majlis pengundian calon Ketua Kampung

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Majlis pengundian dan pemilihan calon jawatan Ketua Kampung Panca Delima dan Orang Kaya Besar Imas, dan calon jawatan Ketua Kampung Tungku dan Katok diadakan hari ini secara serentak.

    Pengundian dan pemilihan calon bagi Kampung Panca Delima dan Orang Kaya Besar Imas, Mukim Berakas A diadakan di Dewan Sekolah Rendah Pulaie manakala bagi pengundian dan pemilihan calon bagi Kampung Tungku dan Katok, Mukim Gadong A diadakan di Sekolah Rendah Tungku Brunei III.

    Hadir menyaksikan majlis di Sekolah Rendah Pulaie ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Sementara pengundian dan pemilihan di Kampung Tungku dan Katok, Mukim Gadong A telah dihadiri oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Haji Khairul Sirajul Fikri bin Haji Jamaluddin selaku Pengerusi Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Tungku dan Katok.

    Calon yang layak dibawa ke majlis pengundian dan pemilihan ketua kampung bagi Mukim Berakas A ialah Awang Hamdan bin Haji Abdullah, 58 dan Awang Omar bin Haji Dollah, 58.

    Haji Zaini semasa ditemu bual pada majlis pengundian ketua kampung bagi Mukim Berakas A diadakan di Dewan Sekolah Rendah Pulaie, kelmarin.
    Dayang Nurul Hidayah bersama keluarga ketika menghadiri majlis pengundian ketua kampung, kelmarin.

    Pada majlis itu, calon pertama iaitu Awang Hamdan mendapat 97 undi manakala calon kedua, Awang Omar mendapat 147 undi manakala 57 undi menyatakan tidak bersetuju.

    Manakala itu, calon bagi Mukim Gadong A pula, Awang Ahmad Khairi bin Haji Hassan telah mendapat 197 undi manakala Haji Zakaria bin Haji Lima mendapat 140 undi sementara satu undi menyatakan tidak bersetuju dan satu undi rosak.

    Di majlis pengundian dan pemilihan calon ketua kampung bagi Mukim Berakas A, pihak media berpeluang menemu bual penduduk kampung yang datang mengundi.

    Haji Zaini bin Haji Pungut yang telah tinggal di Mukim Berakas A lebih 40 tahun, semasa ditemui berkata beliau mengharapkan supaya kemajuan, keselamatan dan kesejahteraan kampung akan terus dicapai dan dipertingkatkan.

    Selain itu, jelasnya, apa saja aktiviti berkebajikan akan dapat dilaksanakan bersama-sama untuk mencapai hasil yang diharapkan dan ini terutamanya melibatkan golongan belia bagi sama-sama berganding bahu menjalankan amanah sebagai penduduk kampung dengan dipimpin oleh ketua kampung.

    Sementara itu, Dayang Nurul Hidayah binti Hamdan pula melahirkan harapan agar calon ketua kampung di Mukim Berakas A akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

    Beliau turut menasihatkan golongan belia yang layak untuk mengundi agar dapat tampil untuk menjalankan tanggungjawab sebagai anak buah kampung kerana kejayaan sesebuah kampung itu turut memerlukan pandangan daripada golongan belia.

    Keputusan pengundian dan pemilihan calon ketua-ketua kampung itu akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...