Majlis pengundian calon ketua kampung

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Pemegang jawatan ketua kampung menjadi tampuk pengurusan serta pentadbiran sesebuah kampung selain bertanggungjawab bagi mewujudkan, memelihara dan mengekalkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat.

Di samping bertindak sebagai perantara dua hala kerajaan dengan penduduk, masyarakat kampung sebagai mata, telinga, kaki dan tangan serta menyokong dan mendukung kepimpinan kerajaan Baginda.

Perkara itu ditekankan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Jaya Setia, Jaya Bakti dan Burong Pingai Berakas, Mukim Berakas A, yang berlangsung di Dewan Laksamana, Sekolah Rendah Amar Pahlawan, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 212 jumlah undi yang diterima iaitu sembilan undi dibuat secara dalam talian manakala 203 undi dibuat melalui kertas undi yang mana daripada jumlah tersebut, 124 bersetuju, 83 tidak bersetuju dan lima undi rosak.

Pengundian yang disediakan menggunakan dua kaedah ini iaitu secara dalam talian menerusi Aplikasi E-Undi PMKK sebagai pemudah cara bagi anak-anak buah kampung untuk mendaftar ke daftar undi sesebuah kampung seterusnya membuat undian. Calon tunggal yang dibawa ke majlis itu ialah Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Manan yang telah bermastautin di kampung berkenaan sejak 1989 dan merupakan seorang pemegang ijazah di Universiti Brunei Darussalam.

Antara penduduk kampung yang datang mengundi bagi calon tunggal ketua kampung di Dewan Laksamana, Sekolah Rendah Amar Pahlawan, kelmarin.