Majlis penutup tadarus di Istana Nurul Iman

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Majlis tadarus Al-Quran yang bermula sejak awal Ramadan di Istana Nurul Iman berakhir malam tadi dengan majlis khatam Al-Quran.

Majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman di sini dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.

Bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai memulakan majlis yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis seterusnya disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran didahului oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong. Doa Khatam dan Tahlil kemudiannya dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

Majlis disemarakkan lagi dengan Dikir Syarafil Anam daripada pegawai-pegawai masjid yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.

Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Turut hadir di majlis tersebut itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap.

Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong semasa menghadiri majlis tadarus dan khatam Al-Quran, yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Muiz Matdani
Doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan Brunei.
Kepala majlis ketika merenjis minyak wangi kepada menteri-menteri kabinet.
Laungan dikir daripada yang hadir menyerikan lagi majlis khatam Al-Quran berkenaan.