Oleh Sim Y. H., Daniel Lim, Ak Zaki Kasharan & BIBD
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Majlis Penyerahan Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan telah diteruskan lagi hari ini di keempat-empat daerah iaitu di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Pusat Insani Seria, Kompleks Sukan Tutong dan Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar Temburong.
Seramai 3,999 orang anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerima sumbangan derma melalui dana dari Tabung Anak-anak Yatim di bawah JAPEM, Tabung Anak Yatim di bawah kawalan jabatan daerah-daerah dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pada majlis penyerahan yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin.
Di Daerah Brunei dan Muara, hari kedua penyampaian derma di ICC telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi BIBD; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan BIBD.
Seramai 1,389 orang anak yatim yang berdaftar di JAPEM telah menerima derma secara pandu lalu selama dua hari acara diadakan di ICC.
Sementara itu, bagi Daerah Belait, penyerahan derma disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud diiringi oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed.
Seramai 619 orang anak yatim yang tersenarai di Daerah Belait telah menerima derma pada majlis berkenaan.
Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd turut menyumbangkan derma kepada anak-anak yatim yang berdaftar di Daerah Belait di mana ia disampaikan oleh Pengarah Sumber-sumber Tenaga Manusia, Hajah Zainab binti M A Omar dan Pengurus Korporat, Haji Jaafar bin Haji Awang Bakar.
Manakala itu, bagi Daerah Tutong, penyerahan derma disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohammad Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan diiringi oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Meludin. Seramai 611 orang anak yatim dari Daerah Tutong telah menerima sumbangan pada majlis berkenaan.
Bagi Daerah Temburong, penyerahan derma disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dayang Fauziah binti Hamid dan diiringi bersama oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Seramai 189 orang anak yatim dari Mukim Bukok, Mukim Amo, Mukim Bangar, Mukim Batu Apoi dan Mukim Labu menerima derma pada majlis berkenaan. Bagi penjaga yang tidak berkesempatan untuk mengambil derma akan ditetapkan tarikh untuk mengambilnya di kaunter JAPEM di cawangan daerah masing-masing.
Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan derma kepada Tabung Anak-anak Yatim boleh menghulurkannya melalui Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, JAPEM pada waktu pejabat, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim yang berlangsung selama tiga bulan bermula 1 April hingga 1 Julai 2022 dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu 1,5,10,15,20,50 atau 100 di mana sebagai contoh, YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 3811 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan imagine hantar kepada 39999 atau menderma ke Tabung Anak-anak Yatim melalui Bank Islam Brunei Darussalam secara dalam talian atau memasukkan derma ke nombor akaun, Tabung Anak-anak Yatim, 0000-101-004-9034.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, mereka boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM di talian 2380704 semasa waktu pejabat atau menghubungi hotline JAPEM, Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.
Dengan adanya sumbangan itu, mudah-mudahan orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal yang mulia nanti selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT.