BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Sempena dengan penaik taraf Shiplift Alpha, satu majlis penyerahan dan doa selamat telah diadakan di Pangkalan Tentera Laut Muara.
Majlis dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Tentera Laut Diraja Brunei, Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Jabatanarah Kewangan dan Perolehan, Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi, dan Unit Korporat dan Perundangan serta wakil-wakil kontraktor Lurssen Logistics GmbH & Co KG.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Awang Rafi’uddin bin Haji Mohd Ali. Seterusnya, tetamu kehormat menyerahkan sijil Lloyd’s Register of Shipping bagi penyiapan ujian penerimaan pada 12 April 2019 kepada komandan Perkhidmatan Bantu, Tentera Laut Diraja Brunei. Majlis kemudiannya diikuti dengan bacaan Doa Selamat.
Projek berkenaan telah dilaksanakan untuk meningkatkan kesediaan Tentera Laut Diraja Brunei melalui keselamatan ‘docking’ kapal kelas IJHTIHAD (Fast Patrol Boat) untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal. Projek bermula pada 21 Ogos 2017 dan telah siap pada 12 April 2019.