Majlis perjumpaan eratkan hubungan

Oleh Nurdiyanah R dan Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sebagai mengabadikan sebuah ikatan persahabatan, lebih 60 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pengambilan rekrut lelaki ke-116 telah mengadakan majlis pertemuan semula di salah sebuah restoran di Sungai Akar, baru-baru ini.

Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah untuk anggota tentera yang telah kembali ke rahmatullah serta Doa Kesyukuran atas pertemuan berkenaan.

Majlis anjuran kali keempat itu turut dihadiri bekas jurulatih pengambilan anggota ABDB yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin sejak mula menyertai profesion tersebut 19 tahun lalu.

Di samping itu, ia juga memberikan peluang kepada anggota berkenaan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman.

Majlis turut diserikan dengan perkongsian pelbagai kisah suka dan duka yang dialami semasa menjalani latihan asas rekrut selama enam bulan serta mengenang jasa-jasa pengorbanan daripada bekas jurulatih. Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan majlis tersebut.

Sementara itu, sekumpulan 20 bekas penuntut Berakas English School (BES – yang sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Berakas) telah mengambil peluang untuk mengadakan acara Mini Reunion yang diadakan di Lambak Kiri, Berakas.

Majlis kendalian salah seorang bekas pelajar, Dayang Zaimah binti Mohammad dimulakan dengan sesi bergambar.

Bekas pelajar BES Kelas 79-84 telah merancang acara perjumpaan semula itu sejak mereka membuat group WhatsApp yang dinamakan ‘Harmony’, akan tetapi ditangguhkan sebab COVID-19.

Gambar ramai sebahagian anggota ABDB pengambilan rekrut lelaki ke-116 bersama bekas jurulatih semasa berlangsungnya majlis pertemuan semula di salah sebuah restoran di Sungai Akar, baru-baru ini. – Gambar serahan salah seorang bekas anggota ABDB pengambilan rekrut lelaki ke-116
Gambar ramai bekas penuntut Berakas English School semasa Mini Reunion di Lambak Kiri, Berakas baru-baru ini.