Majlis perkahwinan dalam air

15 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai 2002 – Kebanyakan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan menginginkan upacara yang unik dan berbeza sesuai dengan peredaran zaman.

Inilah yang dilalui oleh sepasang pengantin baru keturunan Cina yang menyambut hari bersejarah mereka di dasar laut Pulau Perhentian, Terengganu, Malaysia.

Pengantin perempuan warga Brunei, Foo Shih Hui, 27, dan pasangannya warga Malaysia, Chong Kean Hong, 27, juga menjadi pasangan pertama melangsungkan perkahwinan sedemikian di pulau peranginan terkenal itu.

Chong Keng Hong memberitahu media, mereka mengimpikan sebuah perkahwinan yang menarik, tambahan lagi mereka amat meminati suasana alam semula jadi dan suka menyelam.

Persekitaran Pulau Perhentian yang bersih memang menarik perhatian mereka untuk menjadikan tempat itu sebagai tempat bersejarah. Namun sebelum acara perkahwinan itu berlangsung, mereka membuat pelbagai persiapan.

Pada hari perkahwinan, 20 orang terlibat bagi memastikan kejayaannya, termasuk menjadi saksi majlis perkahwinan yang disempurnakan dengan acara pertukaran cincin di dalam laut.

Majlis perkahwinan dalam air itu mengambil masa selama satu jam dan mereka juga mengambil kesempatan melihat keadaan sekeliling pulau berkenaan selepas acara selesai.