Majlis pernikahan Eka Sharif terpaksa dibatalkan

Penyanyi Eka Sharif terpaksa membatalkan majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan pada Sabtu selepas ibu saudara disahkan positif COVID-19.

Eka atau nama sebenarnya Nur Atiqah Shariffudin, 31, berkata dia menerima berita sedih itu ketika sedang menjalani raptai untuk majlis berkenaan.

“Sewaktu saya sedang menjalani raptai siang tadi, saya dapat panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan makcik saya disahkan positif COVID-19 selepas membuat pemeriksaan di hospital.

“Dia tak mengalami apa-apa simptom. Dia buat ujian COVID-19 pun sebab dia perlu menjalani pembedahan fibroid,” katanya baru-baru ini. Menurut Eka, kali terakhir dia berjumpa ibu saudaranya pada Selasa lalu di sebuah butik untuk berbincang tentang majlis tersebut.

Eka dan bakal suaminya iaitu Nazrulnaim membuat keputusan untuk membatalkan majlis berkenaan selepas mendapat nasihat daripada KKM.

Eka Sharif reda dengan apa yang berlaku demi keselamatan semua pihak. – Agensi

“Kali terakhir saya berjumpa dengan makcik saya adalah pada Selasa di sebuah butik untuk berbincang mengenai majlis saya.

“Sebaik sahaja saya dapat berita itu, kami pun buat keputusan untuk tangguhkan majlis kami,” ujarnya.

Tambah Eka, dia yang sepatutnya melangsungkan pernikahan pada pagi Sabtu lalu terpaksa menggunakan masa itu untuk ke klinik dan membuat pemeriksaan COVID-19. Majlis resepsi sepatutnya dijadualkan pada sebelah malam hari yang sama. Kad jemputan untuk tetamu termasuk rakan media sudah dihantar.

Menurut Eka, sebelum ini majlis pernikahan tersebut turut ditunda berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini reda dengan apa yang berlaku demi keselamatan semua pihak. – Agensi