Majlis perpisahan duta China

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Diplomat asing di Negara Brunei Darussalam, hari ini menghoskan majlis perpisahan bagi Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian yang menamatkan perkhidmatannya di negara ini.

Pada majlis perpisahan jamuan tengah hari di salah sebuah hotel di Gadong itu, Pemangku Dekan Ahli Diplomatik dan Duta Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Vladlen Semivolos dalam ucapannya berkongsi pencapaian yang telah dicapai oleh PYT Yang Jian semasa berada di negara ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, sejak beberapa tahun yang lalu, Brunei dan China telah menyaksikan peningkatan hubungan dalam perdagangan dan juga pelaburan.

“Kerjasama dinamik ini juga telah diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif dalam kerjasama dan Brunei-Guangxi Economic Corridor adalah salah satu yang amat penting,” tambahnya.

Menurutnya lagi, antara projek pelaburan yang membanggakan adalah projek Hengyi Industries Sdn Bhd, penapisan minyak di Pulau Muara Besar yang mana dijangka beroperasi pada tahun depan.

“Selain itu, di Salambigar Industrial Park, China sedang membina kemudahan pengilangan paip keluli karbon yang dikimpal dan esok, kami akan menyaksikan perasmian Persatuan Inisiatif Tali Pinggang dan Jalan Raya,” tambahnya.

Beliau seterusnya menambah, ini adalah pencapaian luar biasa dan pencapaian kerjaya teladan yang boleh dibanggakan.

PYT Yang Jian bergambar ramai bersama diplomat asing yang lain pada majlis perpisahan jamuan tengah hari di salah sebuah hotel di Gadong. – Gambar oleh Rahwani Zahari