Majlis Perpisahan maya rai duta Thai

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Kor Diplomatik, hari ini, telah mengadakan majlis perpisahan secara maya bagi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul yang akan menamatkan perkhidmatannya ke negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis itu diadakan secara maya dengan mempertimbangkan situasi pandemik COVID-19 di negara ini dan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak.

Pada majlis itu, Dekan Kor Diplomatik dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari menyampaikan ucapan bagi pihak komuniti diplomatik dan mengucapkan tahniah kepada PYT bagi tempohnya di negara ini.

Tuan Yang Terutama memuji Puan Yang Terutama kerana berjaya mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Brunei Darussalam dan Thailand.

“Sebalik tempoh yang agak singkat, kami gembira untuk melihat bahawa hubungan dua hala Brunei dan Thailand lebih diperkukuhkan.

“Dalam hal ini, Puan Yang Terutama telah berjaya menggunakan konsep diplomasi awam, dengan menganjurkan pelbagai acara amal seperti kempen derma darah dan banyak acara serupa,” ujar Tuan Yang Terutama.

Tuan Yang Terutama turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya bagi tugas Puan Yang Terutama seterusnya dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sumbangan kepada pelbagai aktiviti Kor Diplomatik sepanjang tempoh perkhidmatan di negara ini.

Kemudian, PYT Wanthanee Viputwongsakul menyampaikan ucapan perpisahan dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat Baginda dan kerajaan Brunei serta Kor Diplomatik atas kerjasama penuh dan sokongan sepanjang berada di negara ini.

Puan Yang Terutama telah menyembahkan tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 4 Februari 2019.

PYT Wanthanee Viputwongsakul menerima tanda penghargaan semasa majlis perpisahan secara maya berkenaan. – Gambar
serahan Kedutaan Kesultanan Oman di Brunei Darussalam