Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KBRI di Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar yang bakal menamatkan perkhidmatannya ke negara ini telah diraikan pada majlis makan malam perpisahan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, malam tadi.
Majlis berkenaan telah dianjurkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, TYT Dr Sujatmiko selaku pemangku dekan Kor Diplomatik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam, ia merupakan acara perpisahan pertama diadakan secara peribadi, selepas awal Ogos 2021, yang mana acara berkenaan diadakan secara maya.
Kira-kira 30 ketua misi dan pasangan mereka serta diplomat kanan menghadiri majlis berkenaan.
Dalam ucapan bagi pihak Kor Diplomatik, TYT Dr Sujatmiko mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya Tinggi India yang telah memberikan perkhidmatan yang baik sejak mula berkhidmat di negara ini pada 15 Januari 2019.
Beliau mengimbau kembali apa yang telah dicapai oleh Pesuruhjaya Tinggi India sepanjang tempoh perkhidmatannya yang berjaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“TYT Ajaneesh Kumar ialah seorang diplomat dan dalam tempoh tiga tahun perkhidmatannya, beliau telah melakukan tugas yang cemerlang dalam meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor seperti dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan sukan,” ujar TYT Dr Sujatmiko.
TYT Dr Sujatmiko, bagi pihak ketua Kor Diplomatik, merakamkan rasa terima kasih atas persahabatan yang sangat baik semasa berada di Brunei dan mendoakan yang terbaik untuk TYT Ajaneesh Kumar untuk tugasan baharunya di Tallinn, Estonia.
Sementara itu, TYT Ajaneesh Kumar dalam ucapan perpisahannya merafakkan sembah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja, serta kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kor Diplomatik atas kerjasama dan sokongan semasa berkhidmat di Negara Brunei Darussalam.