Majlis perpisahan untuk pesuruhjaya tinggi Bangladesh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Kor Diplomatik telah mengadakan majlis Makan Malam Perpisahan sebagai penghormatan kepada Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain yang akan menamatkan perkhidmatannya, di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.

Dekan Kor Diplomatik dan Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al Maskari dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan tahniah bagi pihak komuniti diplomatik, kepada TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain atas kejayaannya.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama atas kemajuan dalam hubungan dua hala Brunei-Bangladesh selama tempoh produktif Tuan Yang Terutama di Brunei yang indah ini.

“Kami dengan gembira menyaksikan bahawa hubungan dua hala antara Brunei dan Bangladesh diperkukuhkan lagi sepanjang tempoh Tuan Yang Terutama,” tambahnya.

Dekan Kor Diplomatik seterusnya menjelaskan kemajuan yang dicapai selama tempoh TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain di Brunei.

Sesi bergambar ramai semasa majlis Makan Malam Perpisahan bagi pesuruhjaya tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatannya.

“Pada tahun lepas (2019), saya mengikuti dengan dekat kunjungan Perdana Menteri Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina, yang saya percaya adalah lawatan rasmi pertamanya ke Brunei yang ternyata berjaya dan membuahkan hasil, berdasarkan kenyataan bahawa kedua-dua negara telah menandatangani beberapa memorandum persefahaman merangkumi bidang kerjasama yang meluas semasa lawatan tersebut,” ujar beliau.

TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain dalam ucapannya pula menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat diraja, kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kor Diplomatik yang telah memberikan kerjasama dan sokongan penuh semasa perkhidmatan beliau di Brunei Darussalam.

Tuan Yang Terutama turut menekankan mengenai hubungan yang unik dan mesra dalam kalangan ahli Kor Diplomatik di Negara Brunei Darussalam yang beliau anggap unik dan tidak seperti di negara-negara lain.

Pada majlis itu, TYT Sheikh Ahmed telah menyampaikan cenderahati kepada isteri TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain, Abeda Islam.

TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain telah menyembahkan surat tauliah pelantikanya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 15 Februari 2017.