Majlis pertemuan kumpulan hadrah meriah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Bekas-bekas pelajar Kumpulan Hadrah Derma Bakti Tahun 1965-1970 Kuala Belait, baru-baru ini, telah mengadakan majlis pertemuan semula di Gardens Veranda, Rimba Garden Central (RGC), Rimba.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Dato Paduka Haji Mohd Murad bin Abang Ali dan Datin Hajah Zuriah binti Haji Ibrahim.

Juga hadir ialah Ketua Kampung RPN Lorong 3 Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim, mantan-mantan pelajar Kumpulan Hadrah Derma Bakti Tahun 1965-1970.

Pengerusi majlis, Haji Razalli bin Haji Omar Ali dalam ucapannya antara lain mengongsikan perasaan kagumnya terhadap usaha ahli-ahli jawatankuasa dalam mencari dan mengesan bekas-bekas pelajar bagi menjadikan majlis pertemuan semula tersebut berjaya.

“Perasaan rindukan persahabatan yang mesra, yang dialami di zaman kanak-kanak dan alam remaja melalui kelas-kelas hadrah dalam tahun-tahun tersebut telah mendorong pelajar-pelajar ini untuk mengadakan majlis ini,” tambahnya.

Majlis diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat, acara Dikir, bacaan Tahlil dan Doa Selamat, kemudiannya diteruskan dengan menikmati jamuan serta sesi bergambar ramai.

Antara yang hadir di majlis tersebut terdiri daripada bekas-bekas pelajar Kumpulan Hadrah Derma Bakti Tahun 1965-1970.