Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Majlis rai 114 pelajar cemerlang

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seramai 114 orang pelajar Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SM PAPHM) yang meraih kecemerlangan dalam Peperiksaan BC GCE O Level, IGCSE dan BTEC 2021 telah diraikan pada majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut, petang tadi.

    Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengetua Sekolah Menengah Masin yang juga merupakan mantan pengetua SM PAPHM, Hajah Norwen binti Haji Brahim selaku tetamu kehormat majlis.

    Pemangku Pengetua SM PAPHM, Pengiran Mohd Afiffin bin Pengiran Haji Aliuddin dalam ucapannya mengongsikan bahawa sekolah tersebut telah berjaya menunjukkan peningkatan dalam pencapaian lima kredit dan ke atas dalam Peperiksaan BC GCE O Level dan IG CSE Oct/Nov 2021 yang mencapai 73.3 peratus.

    “Dengan itu, SM PAPHM telah berjaya menunjukkan peningkatan dalam keputusan BC GCE O Level sepanjang lima tahun berturut-turut.

    “Alhamdulillah Kementerian Pendidikan telah memberikan insentif galakan sebagai ganjaran di atas pencapaian sekolah ini.

    “Ia digunakan untuk mendapatkan peralatan dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut kaedah dan perkembangan teknologi dan pendidikan pada masa kini,” jelas Pengiran Mohd Afiffin lagi.

    Acara pada petang tadi terlebih dahulu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan lagu rasmi sekolah sebelum diikuti dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran.

    Sementara itu, salah seorang penerima anugerah pelajar cemerlang yang diraikan, Dayang Nur Farizah Hannani binti Muhammad Shahrul Nizam dalam ucapannya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada para tenaga pengajar di sekolah berkenaan atas segala tunjuk ajar yang telah mereka sumbangkan di sepanjang pembelajarannya di sana.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan seperjuangannya yang telah berjaya melengkapkan peperiksaan O Level masing-masing di samping mendoakan agar mereka terus berjaya dalam pembelajaran di peringkat selanjutnya.

    Hajah Norwen semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar pada majlis yang berlangsung di dewan serba guna SM PAPHM kelmarin.
    Dayang Nur Farizah Hannani bergambar bersama bapanya pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...