Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Seramai 223 orang pelajar baharu telah dipilih untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bagi sesi Januari 2022 dan telah dialu-alukan dalam minggu suai kenal yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Rasmi Minggu Suai Kenal Pengambilan Pelajar Baharu IBTE Sesi Januari 2022 itu ialah Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli.
Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Dr Haji Mohd Zamri berkata bahawa minggu orientasi pelajar yang dianjurkan oleh IBTE itu adalah untuk meraikan para pelajar baharu yang telah terpilih bagi melanjutkan pengajian di institut itu.
Beliau menambah bahawa matlamatnya adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar baharu tentang cara hidup dan budaya pembelajaran yang serba baharu di institut berkenaan dan memberi peluang kepada para pelajar untuk menyesuaikan diri mereka dengan perubahan suasana kehidupan dan pembelajaran itu.
Pada majlis berkenaan, para pelajar turut dialu-alukan oleh Pemangku Penolong Pengarah (Akademik), Awang Norjemee bin Jenek. Turut sama menyaksikan majlis secara maya itu ialah timbalan-timbalan pengarah, pengetua-pengetua, pendaftar, ketua-ketua sekolah, pengurus-pengurus akademik serta pengurus-pengurus operasi IBTE.
Majlis menyaksikan ikrar pelajar yang dibacakan oleh wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar IBTE Kampus Mekanikal, Awang Muhammad Khairul Anam bin Mirhassan.
Kemudian pelajar-pelajar baharu menyaksikan tayangan Video Korporat IBTE selain itu, agensi jemputan iaitu perwakilan dari BIBD, Perancang Kewangan Islam (IFP), Dayang Norliah binti Mohd Taib dan dari Bahagian Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Norainah binti Haji Mohd Salleh dan ASP Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani turut menyampaikan taklimat.
Kesemua pelajar tersebut telah diterima untuk mengikuti program sepenuh masa yang ditawarkan di IBTE.
Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang dua hari majlis orientasi itu, hingga 15 Januari, di mana program orientasi berkenaan bertujuan untuk mendedahkan serba sedikit mengenai budaya kehidupan serta pembelajaran di kampus.