Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Seramai 15 orang pelajar Sekolah Sukan telah menerima anugerah Kelab CCA Cemerlang Penyertaan dan Sumbangan 2023 pada Majlis Enrich2Empower: CCA dan Project Based Learning (PBL) Showcase di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie, hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Sekolah Sukan itu dihadiri oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Hajah Rosediana binti Haji Hidop selaku tetamu kehormat.
Timbalan Pengetua Sukan, Sekolah Sukan, Haji Azrin bin Haji Aji dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan diadakan untuk meraikan projek CCA dan PBL yang telah semakin berkembang sejak ia mula diperkenalkan di dalam sekolah dan diisikan dengan pelbagai program dan aktiviti.
Beliau menjelaskan, CCA dan PBL sekarang berbeza berbanding yang dulu, ia tidak dikendalikan seperti biasa, sebaliknya dimuatkan dengan aktiviti di luar kelas, dan mendapat ilmu di luar kelas sebanding dengan program dan projek sekolah luar negara.
Kemahiran yang diberikan kini tidak lagi sama dengan kemahiran diterapkan di sekolah, di mana pelajar kini belajar untuk bekerjasama, berdikari dan mandiri serta mampu bagi berkomunikasi antara satu de-ngan yang lain, tambah beliau.
Majlis juga diselitkan dengan pelancaran penubuhan Kadet Tentera Sekolah Sukan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Atur cara diakhiri dengan tetamu kehormat menyaksikan pameran kelab-kelab CCA dan PBL.