Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Ramah Mesra MPMK Seria bersama rombongan Indonesia

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 20 Feb – Seramai lebih 20 orang ahli rombongan Muslimah dari Majlis Taklim Al-Mabrurah, Ikatan Persaudaraan Haji Indonesia Sabang Pulau Weh Aceh hari ini diraikan dalam Majlis Ramah Mesra bersama ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Seria di sini.

    Hadir pada majlis tersebut selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan isteri serta Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim dan ahli-ahli Jawatankuasa MPK STKRJ Lorong Tiga Seria serta ahli-ahli Persatuan Pertiwi dan persatuan wanita lainnya di daerah tersebut.

    Rombongan diketuai oleh Ketua Majlis Taklim Al-Mabrurah, Hajah Salmiati binti Mahidin serta suaminya yang juga Ke-tua Ikatan Persaudaraan Haji Indonesia Sabang, Haji Badaruddin bin Abdul Manap telah dialu-alukan oleh ahli MPK STKRJ Lorong Tiga Seria dengan pelbagai persembahan antaranya silat, tarian Ngajat, persembahan bermukun, pameran kuih asli Brunei, demonstrasi membuat kuih-muih tradisi dan ambuyat serta lain-lainnya.

    Menurut Hajah Salmiati, kunjungan ke negara ini merupakan kali pertama dan merancang untuk mengatur kunjungan akan datang bersama dengan ahli-ahli lain dan melahirkan kegembiraan atas sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini yang sangat peramah dan mesra.

    Haji Badaruddin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria.

    Sementara itu, Haji Saidin dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rombongan yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri majlis ramah mesra bersama dengan ahli-ahli MPK tersebut serta ahli-ahli daripada persatuan-persatuan wanita lainnya di sini, untuk sama-sama mengeratkan lagi tali persaudaraan serta berpeluang bertukar-tukar fikiran dan sebagainya.

    Menurutnya dengan adanya acara seperti itu, akan membukakan peluang lagi kepada kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman serta mengeratkan lagi persahabatan antara masyarakat daripada kedua-dua buah negara berkenaan.

    Pada majlis tersebut rombongan juga berpeluang menikmati hidangan-hidangan tradisi yang telah disediakan oleh ahli-ahli Persatuan Pertiwi yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan cawangan Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda