Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Persiapan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 giat dilaksanakan di kesemua daerah dan hari ini, ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas di Surau Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).
Hadir ke majlis tersebut ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM ke-71 dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi jawatankuasa kebangsaan tersebut.
Majlis telah didahului dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah diikuti dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang.

Majlis juga diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas beramai-ramai sejurus selepas menunaikan sembahyang berjemaah tersebut.
Majlis tersebut diadakan bagi memohon ke hadrat Allah S.W.T bagi rahmat, nikmat, keselamatan, keberkatan, kesempurnaan, dan kelancaran majlis-majlis dan acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun bagi tahun 2017 yang diadakan di seluruh negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara serta para jemputan yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM.