Majlis Resepsi bersama KKBS

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Rombongan 10 orang belia Republik Korea, hari ini, telah mengikuti Majlis Resepsi bersama Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu merupakan sebahagian daripada Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea bagi tahun 2019.

Turut hadir pada majlis yang dianjurkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong.

Rombongan belia yang diketuai oleh pegawai dari Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea, Junhong Cho berkenaan berada di Negara Brunei Darussalam sejak 20 Ogos lalu dan akan berakhir pada 28 Ogos.

Hubungan persahabatan dan persefahaman Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea semakin kukuh dan terjalin erat dengan adanya program pertukaran berkenaan yang merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama Arrangement on Cooperation on Youth Matters yang telah dimeterai oleh kedua-dua buah negara pada 10 Februari 2010.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta.

Program mula dilaksanakan pada 2011 dan tahun ini merupakan kali ke-9 diadakan di mana rombongan Negara Brunei Darussalam akan membuat pertukaran lawatan ke Republik Korea pada Oktober depan.

Setakat ini, 80 orang belia dari Negara Brunei Darussalam dan 90 orang belia dari Republik Korea telah menyertai program tersebut yang antara lain bertujuan untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia-belia kedua buah negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat.

Selain itu juga untuk berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan.

Sepanjang berada di negara ini, peserta program membuat beberapa aktiviti termasuk berinteraksi bersama pelajar-pelajar Pusat Bahagia, Pulaie dan belia-belia tempatan anjuran Majlis Belia Brunei dan pertubuhan bukan kerajaan lain di Dewan Bahasa dan Pustaka, Lambak Kanan.

Selain itu, mereka juga berpeluang menyaksikan Kejohanan Wusyu Junior Asia ke-10, mengadakan lawatan sambal belajar ke Galeri Sukan, Kampung Batu Marang, Pusat Sejarah Brunei, Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu dan Darussalam Enterprise (DARe), iCentre.

Peserta juga berpeluang merasakan sendiri dan menyaksikan kemeriahan Bandarku Ceria dan akan berpeluang menjalankan inap desa bersama keluarga angkat selama dua hari.