Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Iran terus mempunyai hubungan persahabatan dan dua hala yang erat di mana kedua-dua buah negara mempunyai persamaan dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, sejarah, budaya dan agama.
Untuk meraikan hubungan itu, Kedutaan Republik Iran di sini memperingati Hari Kebangsaan Republik Islam Iran ke-38 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim di mana kehadiran Yang Berhormat Pehin serta para jemputan khas dialu-alukan oleh Duta Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Abdolhamid Fekri.
Majlis kemudian menyaksikan acara memotong kek sempena Hari Kebangsaan Republik Islam Iran yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan Abdolhamid Fekri.


