Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Kuwait

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Kedutaan Besar Kuwait di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan Majlis Resepsi Makan Malam bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait ke-59 dan Sambutan Hari Pembebasan Kuwait ke-29.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Ketibaan Yang Berhormat Pehin ke majlis itu dialu-alukan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Brunei, Tuan Yang Terutama Salah Al-Mutairi.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara diikuti dengan upacara memotong kek ulang tahun oleh Yang Berhormat Pehin dan Tuan Yang Terutama bersama Duta Besar Oman, Duta Besar Qatar dan Duta Besar Arab Saudi ke negara ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama TYT Salah Al-Mutairi dan duta-duta asing ke negara ini ketika memotong kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait.