Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Majlis resepsi rai ulang tahun Maharaja Jepun

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kedutaan Besar Jepun di Negara Brunei Darussalam, malam tadi, telah menganjurkan majlis resepsi sempena ulang tahun ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito, Maharaja Jepun di Tarindak d’Polo.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dalam ucapannya antara lain menyentuh mengenai hubungan persahabatan antara Jepun dan negara-negara ASEAN termasuklah dengan Negara Brunei Darussalam.

    “Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Jepun-ASEAN, dan tahun depan kita akan menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Jepun dan Brunei Darussalam.

    “Disember akan datang ini, Sidang Kemuncak Peringatan Jepun-ASEAN pula akan diadakan di Jepun, dan Perdana Menteri TYT Kishida sangat berharap untuk mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jepun.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan TYT Maeda Toru bergambar ramai pada majlis tersebut.

    “Di peringkat pegawai kanan, Dialog Dasar Jepun-Brunei telah diadakan bulan ini antara Ketua Pengarah Kementerian Luar Negeri Jepun, Arima Yutaka dan Pengiran Datin Norhashimah dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam untuk membincangkan isu-isu yang meluas termasuk kerjasama dua hala, serantau dan global,” kongsi beliau.

    Menurut Tuan Yang Terutama lagi, pertukaran antara rakyat sentiasa menjadi asas hubungan mesra antara Jepun dan Brunei.

    “Bilangan pelancong antara Jepun dan Brunei semakin meningkat, terutamanya selepas kawalan sempadan dilonggarkan di Jepun dan penyambungan semula penerbangan terus Penerbangan Diraja Brunei ke Jepun tahun lepas,” tambah beliau.

    Tuan Yang Terutama dalam ucapannya turut menyentuh mengenai hubungan ekonomi yang dinikmati sekian lama oleh kedua-dua buah negara di mana sejak kemerdekaan Brunei, Jepun merupakan rakan dagang terbesar Brunei.

    Eksport LNG dari Brunei ke Jepun merupakan batu asas kerjasama kedua-dua buah negara.

    Tuan Yang Terutama turut menyentuh mengenai komitmen kedua-dua buah negara dalam menggalakkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini yang menghormati prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan.

    Antara tetamu pada majlis resepsi termasuklah para pegawai kerajaan, ahli perniagaan, pihak media, ahli-ahli Kor Diplomatik dan penduduk Jepun di negara ini.

    Majlis turut dimeriahkan dengan pameran yang disediakan oleh syarikat Jepun yang beroperasi di Brunei untuk berkongsi pencapaian dan aktiviti semasa mereka kepada para tetamu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...