Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Bersempena dengan ulang tahun ke-95 penubuhan Chinese People’s Liberation Army (CPLA), Kedutaan Besar China di Brunei Darussalam telah mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di Tarindak D’Seni di ibu negara hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim dan isteri.
Juga hadir ialah Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan suami; serta Atase Pertahanan Kedutaan Besar China di Brunei Darussalam, Kolonel Kanan Dai Qilin.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Kolonel Kanan Dai Qilin antara lain menerangkan mengenai sejarah gemilang CPLA sejak penubuhannya di samping sumbangan-sumbangan penting yang dicatat oleh CPLA dalam menjaga kedaulatan negara dan integriti wilayah.
Jelasnya, China sentiasa berpegang kepada dasar pembangunan yang aman dan melaksanakan dasar keamanan luar negara yang bebas dan dasar pertahanan negara yang bersifat defensif. CPLA telah mengambil peranan aktif dalam operasi pengaman PBB, misi pengiring di Teluk Aden dan kerjasama antarabangsa memerangi pandemik COVID, memenuhi kewajipan antarabangsa dengan tindakan konkrit serta menyumbang kepada keamanan dan pembangunan dunia.
Menurut Kolonel Kanan Dai Qilin, ketika berdepan perubahan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan pandemik COVID, cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional adalah saling berkait.
Sehubungan itu, Presiden Xi Jinping telah mencadangkan Inisiatif Keselamatan Global pada April 2022 yang menyeru semua negara di dunia mematuhi tujuan dan prinsip piagam PBB ketika menghadapi cabaran keselamatan.
Akhir sekali, Kolonel Kanan Dai Qilin menyatakan bahawa hubungan ketenteraan antara China dan Brunei membentuk bahagian penting dalam perkongsian strategik kerjasama antara kedua-dua negara.
China bersedia bekerjasama dengan Brunei untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, memperkaya bentuk dan kandungan pertukaran ketenteraan, memperluas serta memperdalam pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Acara kemuncak majlis menyaksikan upacara memotong kek ulang tahun ke-95 penubuhan CPLA oleh Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif, PYT Yu Hong dan Kolonel Kanan Dai Qilin yang disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis.