Majlis Santap Negara raikan Presiden Republik Korea

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, malam ini, berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan Lawatan Negara Presiden Republik Korea (R.O.K), Tuan Yang Terutama Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung Sook yang berlangsung di Dewan Persantapan Diraja.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Juga hadir ialah menteri di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, R.O.K, PYT Kang Kyung-wha; Menteri di Kementerian Kemajuan Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, R.O.K, PYT Kim Hyun-mee; Menteri di Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, R.O.K, TYT Sung Yunmo dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Menteri Pengiring, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan datin.

Majlis Santap Negara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Seterusnya Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah yang antara lain menekankan bahawa lawatan Tuan Yang Terutama juga hadir pada masa yang baik ketika Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea meraikan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara bersama Presiden Republik Korea, TYT Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara bersama Presiden Republik Korea dan isteri. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Baginda bertitah, beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua buah negara telah membangunkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, infrastruktur, budaya dan pertukaran rakyat.

Baginda melahirkan kepercayaan bahawa dengan pertemuan hari ini akan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim.

“R.O.K adalah rakan dagangan penting bagi Negara Brunei Darussalam, dengan jumlah dagangan melebihi $1 bilion setiap tahun untuk tempoh lima hingga 10 tahun kebelakangan.”

Penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, tambah Baginda, akan mengukuhkan lagi resolusi untuk bekerja rapat dan mewujudkan lebih keyakinan untuk agensi dan sektor swasta kedua-dua buah negara bekerjasama.

Baginda juga berharap untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pertanian dan perikanan, serta industri petrokimia hiliran, tatkala negara bercita-cita untuk mempelbagaikan ekonomi.

Dengan perkembangan teknologi yang pantas dalam dunia hari ini, tekan Baginda, adalah penting untuk mempersiapkan rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai ke arah Revolusi Industri ke-4.

“Dalam hal ini, kami menghargai perkongsian kepakaran dalam inovasi dan teknologi R.O.K tatkala kami bergerak ke arah membangunkan Brunei Darussalam sebagai Negara Pintar.”

Baginda turut menghargai penyertaan syarikat-syarikat Korea dalam pembangunan infrastruktur negara selama ini.

Di samping itu, Baginda juga melahirkan rasa gembira melihat peningkatan dalam pertukaran pelancong, perniagaan dan pelajar yang dipermudahkan dengan kesalinghubungan yang lebih baik antara kedua-dua buah negara.

Ini, tambah Baginda, akan membawa kepada persahabatan yang lebih rapat dan persefahaman lebih mendalam antara rakyat kedua-dua buah negara.

Dalam pada itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan usaha ROK untuk lebih terlibat dengan ASEAN.

“Kami sangat menghargai New Southern Policy ROK yang akan membawa hubungan dialog ke peringkat lebih tinggi. Kami berbangga menjadi negara penyelaras bagi hubungan dialog yang penting ini,” titah Baginda.

Majlis Santap Negara diteruskan lagi dengan ucapan balas daripada Presiden Republik Korea yang menyatakan rasa kagum dengan keindahan Negara Brunei Darussalam yang terserlah dengan keunikannya tersendiri yang dipimpin oleh seorang pemimpin berwibawa yang mementingkan keamanan dan kedamaian serta prihatin kepada rakyatnya.

TYT Moon Jae-In berada di negara ini bagi rangka lawatan negara selama tiga hari.