Majlis selawat sempena Sambutan Israk Mikraj

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia Bandar Seri Begawan, menerusi Biro Keagamaan telah mengadakan majlis selawat ke atas Rasulullah SAW bersempena Sambutan Israk dan Mikraj 1440H/2019M di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, di sini, semalam.

Program tersebut yang mendapat sokongan dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah dihadiri oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan menunaikan sembahyang fardu Isyak berjemaah dan disusuli dengan sembahyang sunat Hajat bagi memohon keamanan, kesejahteraan, kekuatan dan keberkatan bagi pemimpin dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis seterusnya menyaksikan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Awang Wafiy bin Haji Ibrahim, qari negara yang pernah menyandang tempat ketiga di Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan 1436H/2015M.

Manakala, laungan selawat dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan seterusnya diikuti oleh Kumpulan Qasidah Brunei dan KKBT.

Sementara itu, tazkirah bertajuk Legasi Dakwah Perjuangan Rasulullah SAW telah disampaikan bersama oleh Ketua Guru Agama, Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Awangku Hassanuddin bin Pengiran Haji Tajuddin dan Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Majlis pada hari tersebut turut diisikan dengan Mahlul Qiyyam, Sayyidul Istigfar dan Doa Taubat. Projek tahunan Biro Keagamaan KKBT Pusat Belia Bandar Seri Begawan antara lainnya bertujuan untuk melestarikan budaya berselawat dan sentiasa mengingati serta mencintai Rasulullah SAW.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri program keagamaan yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, kelmarin.