Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 28 JUN – Lebih 120 kalangan warga emas di bawah tadahan Mukim Bokok telah diraikan dalam Majlis Semarak Kasih Warga Emas sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat serta Majlis Perundingan Mukim Bokok itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan datin.
Turut hadir ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu selaku penghulu Mukim Bokok dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada acara itu turut memberi ucapan yang menyatakan bahawa Program Semarak Kasih Warga Emas itu merupakan antara salah satu program yang bertujuan untuk menjana dan menyelaras program pembangunan modal insan dalam kalangan warga emas sebagai indung dan ikutan generasi akan datang.
Menurut beliau, jika tiada warga emas, tiadalah generasi akan datang dan beliau berharap supaya usaha terus digarap demi kesinambungan warga emas yang akan terus menabur bakti ke arah menjana Wawasan Brunei 2035.
“Pihak kementerian sentiasa meneruskan aktiviti dan program warga emas ke arah aspek keusahawanan secara mapan agar kegiatan mereka terus berkembang maju.
“Ke arah itu pihak kerajaan akan terus berusaha menyediakan satu tapak bagi bangunan kekal Pusat Bistari Kegiatan Warga Emas Daerah Temburong yang dijangka dibina pada penghujung tahun ini bagi mendorong warga emas untuk bergerak aktif menjana pendapatan,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, seramai 22 warga emas turut menerima sumbangan hamper Hari Raya daripada tetamu kehormat dan datin.
