Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Dengan menjelangnya Ramadan Al-Mubarak, penduduk Kampung Kulapis dan sekitarnya tidak lama lagi akan dapat menunaikan solat fardu lima waktu berjemaah dan solat Fardu Jumaat serta solat Sunat Tarawih dan Witir serta lain-lain kegiatan keagamaan di Masjid Baru Kampung (Kg) Kulapis dengan majlis serah terima sumbangan wakaf masjid berkenaan diadakan hari ini.
Pada majlis itu, keluarga pewakaf menyerahkan bangunan masjid berkenaan kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selaku pemegang amanah dan penerima tunggal bagi semua wakaf termasuk dalam perkara masjid di Negara Brunei Darussalam.
Menerima wakaf Masjid Baru Kg Kulapis itu bagi pihak MUIB ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB yang seterusnya menyerahkannya kepada Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.


Masjid Baru Kg Kulapis diwakafkan oleh sebuah keluarga sebagai tanda kenangan kepada Kg Kulapis dan dibina di atas sebidang tanah kerajaan berkeluasan lima ekar.
Keseluruhan kapasiti masjid baru berkenaan boleh menampung lebih kurang 700 orang jemaah.
Antara kemudahan yang disediakan di masjid itu termasuk ruang sembahyang utama (lelaki), ruang sembahyang perempuan, bilik imam dan bilal, bilik stor, bilik dapur, bilik bacaan, bilik mesyuarat, bilik serba guna, tempat letak kereta, tandas, tempat berwuduk yang berasingan bagi jemaah lelaki dan perempuan serta bilik pengurusan jenazah.