Majlis Silaturahim Hengyi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus meriah dengan majlis-majlis rumah terbuka diadakan untuk meraikan sambutan bersama sahabat handai bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) tidak ketinggalan meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan Majlis Silaturahim yang berlangsung di Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir mengalu-alukan para jemputan dan tetamu ke majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi, Chen Lian Cai bersama-sama pihak pengurusan kanan serta pegawai-pegawai syarikat.

Majlis itu dihadiri oleh para jemputan yang terdiri daripada Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil kementerian dan jabatan kerajaan serta para jemputan khas.

Antara yang menghadiri majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Majlis sambutan itu memberikan peluang kepada Hengyi untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan kongsi perniagaan, pihak-pihak yang berkepentingan, klien, rakan-rakan sejawatan dan sahabat handai untuk mengukuhkan lagi hubungan yang erat dalam kalangan masyarakat.

Majlis itu juga merupakan platform bagi Hengyi untuk menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan dan perkembangan berterusan syarikat berkenaan.

Para jemputan pada majlis berkenaan berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan juadah masakan Melayu yang disajikan.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi, ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo, Chen Lian Cai bergambar ramai pada Majlis Silaturahim Hengyi.