Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis tadarus meriahkan Ramadan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 27 Mei – Bulan Ramadan yang mulia ini terus disemarakkan dengan majlis-majlis tadarus yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi meraih keberkatan dalam bulan Ramadan.

    Sementara itu, hari ini, majlis perundingan mukim dan kampung berserta rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah meneruskan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Pekan Seria.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku ketua rombongan KHEDN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Majlis berkenaan telah diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah, seterusnya penyampaian sumbangan kepada seramai 30 orang anak yatim bagi Mukim Seria dan penyampaian wakaf bagi keperluan Masjid Lorong Tiga Selatan Seria yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar .

    Majlis tersebut merupakan salah satu usaha kementerian dalam mendekatkan lagi hubungan silaturahim antara kementerian dengan kepimpinan akar umbi dan penduduk-penduduk mukim dan kampung di Daerah Belait.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyertai Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Pekan Seria.

    Selain itu, ia juga merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan kementerian dalam meraih kemanfaatan dan pahala dalam bulan Ramadan serta untuk memakmurkan masjid-masjid berkenaan bersama penduduk kampung di seluruh negara.

    Hadir sama pada majlis itu ialah pemangku setiausaha tetap di KHEDN, pemangku pegawai Daerah Belait, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Belait dan jawatankuasa takmir masjid, jemaah masjid serta masyarakat kampung berdekatan.

    Manakala itu, rombongan pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) pula meneruskan majlis bertadarus ke kawasan pedalaman di Balai Ibadat Kampung Sukang, Ulu Belait, Kuala Belait.

    Rombongan tersebut telah diketuai oleh Ketua Bahagian Pengembangan Dakwah, Awang Ali Hassan bin Mohd Said dan disertai sama oleh ketua-ketua unit, pegawai dan kakitangan PDI dan Unit Dakwah Daerah Belait.

    Majlis diisikan dengan acara bertadarus Al-Quran, berbuka puasa dan menunaikan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, seterusnya sembahyang sunat Tarawih dan Witir bersama kalangan mualaf di kawasan berkenaan.

    Turut diadakan ialah bacaan Tahlil dan Doa Arwah khusus bagi mualaf di Kampung Sukang seterusnya berbuka puasa dan penyerahan keperluan telekong sekolah dan telekong untuk kegunaan Balai Ibadat Kampung Sukang.

    Majlis yang dikendalikan oleh Unit Kebajikan Mualaf, Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Belait itu diadakan bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan.

    Di samping itu, ia juga bertujuan sebagai salah satu sarana dakwah kepada mualaf di negara ini dalam memberikan pendekatan kepada mualaf setempat bagi sama-sama menghayati bulan Ramadan dan apa jua yang berhubung kait dengan keistimewaan (Fadilat) yang terdapat dalam bulan ini.

    Selain itu bagi menanamkan minat pembelajaran dan pembacaan Al-Quran dalam kalangan mualaf sekali gus dapat menerapkan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

    Turut mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang berlangsung di Masjid Kampung Junjongan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga TAP, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Tahlil dan Doa Arwah.

    Di majlis tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyampaikan wakaf berupa perkakas keperluan masjid kepada Imam Masjid Kampung Junjongan, Haji Hayrul bin Haji Hakim dan sumbangan kepada 14 orang anak yatim Kampung Junjongan.

    Majlis seterusnya diakhiri dengan acara berbuka puasa dan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Lembaga TAP, ahli-ahli Panel Pelaburan dan pegawai serta kakitangan TAP.

    Acara berkenaan merupakan aktiviti sempena bulan Ramadan yang dikendalikan oleh Badan Kebajikan dan Sukan TAP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda