Majlis tadarus sempena Hari Keputeraan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Sempena bulan Ramadan yang mulia, seramai 73 belia dan beliawanis serta ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sungai Besar telah menyertai majlis tadarus sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 tahun, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, yang juga mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Acara kemudiannya disusuli dengan bacaan satu juzuk bagi setiap para peserta sebagai tanda bagi memulakan bacaan Al-Quran, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil yang diketuai oleh Ketua Belia Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Abdul Wafi bin Haji Ismail.

Sementara itu, bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awangku Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail.

Majlis berkenaan merupakan acara keagamaan tahunan anjuran AJK takmir masjid, jemaah dan Muslimah, belia-belia dan beliawanis Kampung Sungai Besar.

Para peserta bergambar ramai bersama tetamu kehormat semasa majlis tersebut.