Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Tadarus sempena Sambutan Jubli Emas

    Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

    Gambar oleh Muiz Matdani, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta,  Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran sebagai sumbangan khas yang ikhlas.

    Majlis yang telah dilancarkan pada 25 September lalu itu disertai seramai 1,500 orang peserta yang terdiri daripada warga perkhidmatan awam, pasukan-pasukan beruniform, badan-badan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Institut Pengajian Tinggi dan Brunei Acid Company yang dibahagikan ke setiap daerah mengikut tempat kediaman para peserta.

    Di Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dan disertai lebih 600 orang peserta.

    Hadir sama ialah  Setiausaha Tetap, KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Yusof; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abd Karim; dan Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis tadarus yang diadakan di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah.

    Antara yang hadir pada majlis tadarus yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.
    Ketua Pegawai Ugama Daerah (dua dari kiri) ketika hadir pada Majlis Tadarus yang diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
    Antara peserta yang menyertai majlis tersebut sebagai sumbangan khas yang ikhlas sempena Sambutan Jubli Emas.

    Antara peserta yang mengikuti Majlis Tadarus Al- Quran Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Baginda Sultan Menaiki Takhta.

    Bagi Daerah Tutong, majlis yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong disertai lebih 100 orang peserta dan hadir sama menyertai tadarus berkenaan ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dan Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohamamd.

    Di Daerah Belait pula, majlis berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam dan hadir sama ialah  Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Asminan bin Haji Chuchu.

    Sementara itu, di Daerah Temburong, majlis diadakan di Masjid Utama Mohd Salleh dan turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Ghani.

    Majlis berkenaan adalah sebagai pesambah istimewa untuk raja yang dikasihi dengan mengambil sukut suasana gembira dan penuh kesyukuran rakyat jelata dan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam dalam meraikan Jubli Emas 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta.

    Di samping itu, ia juga diadakan bagi memohon doa ke hadrat Allah S.W.T supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan ‘inayah Allah S.W.T, seterusnya memohon kesejahteraan raja, keselamatan rakyat, keberkatan dan keamanan negara.

    Ia juga dihasratkan agar pahala daripada pembacaan Al-Quran 30 Juzuk berkenaan nanti dihadiahkan kepada Baginda dengan niat supaya dikabulkan segala hajat-hajat Baginda dalam memerintah Negara Brunei Darussalam ke arah kemakmuran, keamanan, kesejahteraan dan kemajuan serta sebagai satu usaha dalam merealisasikan wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda