Majlis tahlil bagi tokoh bola sepak tempatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) telah mengadakan upacara tahlil dan doa arwah secara dalam talian hari ini untuk memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh bola sepak yang telah meninggal dunia serta banyak menyumbang kepada perkembangan bola sepak di negara ini.

Tokoh-tokoh bola sepak yang telah meninggal dunia termasuklah Allahyarham Haji Mohd Noor bin Abdullah yang merupakan bekas setiausaha agung Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) dari tahun 2011-2014; Allahyarham Haji Zaini bin Abdul Saini yang merupakan bekas ahli fisioterapi pasukan kebangsaan; Allahyarham Dato Paduka Haji Mohd Yunos Haji Mohd Hussein yang merupakan bapa kepada salah seorang ahli Jawatankuasa Tetap Media dan Komunikasi FABD; Allahyarhamah Hajah Dayang Jamaliah binti Maidin yang merupakan ibu kepada Pengurus DPMM FC, Ali Momin dan Allahyarham Haji Rabaie bin Haji Metali.

Selain memberi penghormatan tersebut, sumbangan kilat juga dibuka untuk membantu meringankan beban ahli keluarga terdekat yang ditinggalkan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Yasin dan kemudian diakhiri dengan doa untuk memohon keberkatan yang diketuai oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Haji Adee Suhardee bin Haji Muhidin. Turut menyertai dalam majlis yang dijalankan secara maya tersebut ialah Presiden FABD Pengiran Matusin bin Matasan, ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, ahli Jawatankuasa Tetap FABD, persatuan di bawah FABD dan ahli Sekretariat FABD.

Majlis tahlil secara dalam talian yang dianjurkan oleh FABD baru-baru ini. – Gambar serahan FABD