Majlis Tahlil sempena penukaran nama BSB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, telah menghadiri Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim serta diselajurkan dengan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan kali ke-51 Tahun 2021 yang berlangsung secara maya, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, hadir sama di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap KHEDN, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji `Abdul ‘Azim dan diselajurkan dengan Doa Kesyukuran sempena Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-51, Tahun 2021 yang dipimpin oleh imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohammad Hasnal bin Haji Mohammad.

Bandar Brunei mula bertukar nama pada 4 Oktober 1970 menjadi Bandar Seri Begawan.
Sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam, sambutan memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan disambut pada 4 Oktober setiap tahun.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menghadiri majlis yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan KHEDN