Majlis tamat pengajian masih dalam proses penilaian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Bagi majlis tamat pengajian diadakan pelbagai senario telah difikirkan dan masih dalam proses penilaian termasuk mengadakan pada tarikh yang ditunda atau secara maya, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika menerangkan mengenai majlis tamat pengajian jika diadakan.

Tarikh dan bagaimana majlis berkenaan akan dilakukan mengikut keadaan negara pada masa yang tertentu terutama dalam mengambil kira peraturan perkumpulan ramai, jelas Yang Berhormat Dato lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, mengulas mengenai Program Tahun Penemuan bagi pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa program berkenaan masih dijalankan yang mana ia harus dipantau dengan teliti khususnya bagi program-program yang melibatkan pelajar ke luar negara.

Beliau menerangkan bahawa program itu juga boleh dilakukan di dalam negara dan bagi yang dilaksanakan di luar negara, ia perlu dipastikan bahawa adakah negara berkenaan berada dalam senarai sebagai negara yang mempunyai risiko tinggi atau tidak.

Buat masa ini, jelasnya lagi, perkara itu masih lagi dalam penelitian dan Tahun Penemuan digantungkan pada masa ini sehingga perkara itu dapat diselesaikan.

“Ini tidak bermakna bahawa Discovery Year ditiadakan, mereka boleh sahaja melakukan Discovery Year mereka di dalam negara dan melakukan pelbagai inisiatif atau kerja dalam komuniti serta dalam bidang-bidang yang mereka ingin pelopori,” tekannya.

Sementara itu, menyentuh mengenai ujian swab yang dilaksanakan, Yang Berhormat Dato mendedahkan bahawa lebih 1,000 orang guru prasekolah telah melalui ujian berkenaan dengan terdapat perancangan untuk mengadakan ujian swab untuk guru-guru dalam pendidikan rendah. Ia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sebagai aspek pemantauan terhadap penularan pandemik COVID-19.

Semasa sidang media, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar turut menambah bahawa bagi fasa pembukaan sekolah yang kedua, seramai 1,500 hingga 2,000 orang guru dan kakitangan sekolah akan melalui ujian swab dalam tempoh dua minggu akan datang ini.