Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Majukan Tasek Merimbun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Sumber khazanah warisan unggul Negara Brunei Darussalam seperti Taman Warisan Tasek Merimbun di Daerah Tutong boleh digunakan sebagai asas bagi melaksanakan dan mewujudkan ekonomi limpahan yang dapat dimanfaatkan serta membawa kebaikan kepada semua pihak khususnya penduduk setempat.

    Cadangan itu dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan pada hari keempat permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menerangkan, Taman Warisan Tasek Merimbun adalah antara Taman Warisan ASEAN yang berpotensi besar untuk menggerakkan aktiviti pelancongan khususnya di Daerah Tutong dan Negara Brunei Darussalam.

    Namun pada itu, tambahnya, usaha-usaha ke arah memajukan taman berkenaan nampak terlalu suram. Beliau menyatakan harapan supaya perhatian sewajarnya perlu diambil bagi merangka strategi jangka pendek, sederhana dan panjang.

    Sementara itu, seorang lagi ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohd Salleh bin Haji Othman menyatakan semua pihak harus berganding bahu dalam memastikan pembangunan ekonomi kembali rancak selain membantu kerajaan menjayakan agenda membangunkan Negara Brunei Darussalam dengan berhemah, bersistematik dan efektif.

    Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin semasa membahaskan mengenai aktiviti pelancongan di Daerah Tutong. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Ini tidak terhad kepada inisiatif program berkebajikan, kemasyarakatan dan keusahawanan sahaja tetapi juga dalam pembangunan lain termasuklah hartanah seperti mengemaskinikan permohonan Tanah Tumpang Sementara (TOL), meneruskan bantuan rumah melalui Skim Perumahan Negara yang dapat membantu merealisasikan impian rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

    “Dalam masa yang sama ke arah membudayakan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat bagi menguruskan kewangan dengan lebih baik, berjimat cermat dan menumpukan perbelanjaan kepada perkara-perkara lebih perlu bagi mengawal inflasi dan mengelakkan pembaziran,” tambahnya.

    Manakala, ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir dalam perbahasannya menyambut baik fokus belanjawan terhadap kepentingan pendidikan, kemahiran dan keusahawanan kerana ia merupakan keutamaan yang kritikal bagi negara yang ingin bersaing serta berkembang maju dalam arena ekonomi digital baharu.

    “Dalam masa yang sama menekankan penyusunan semula ekonomi dan transformasi, membantu perniagaan khususnya PMKS meningkatkan daya penghasilan dan membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka dalam setiap peluang yang ada.”

    Beliau menyatakan lanjut bahawa dengan memberi tumpuan pada usaha memacu pemulihan ekonomi itu, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup serta menjamin kelangsungan hidup rakyat ke arah sama-sama mendukung Wawasan Brunei 2035.

    Di samping itu, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman juga menyatakan harapan supaya pihak kerajaan dapat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan asas bagi meringankan beban ahli keluarga di negara ini.

    “Dalam tempoh jangka sederhana dan panjang, antara isu yang diberi tumpuan adalah berkaitan pergantungan kepada import, kos kepada input pengeluar makanan, isu buruh asing, subsidi, pengangkutan, logistik, teknologi pertanian dan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” ujarnya.

    Selain daripada itu, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah bagi memperketat penguatkuasaan ke atas akta-akta yang berkaitan bagi memastikan peniaga sentiasa menjalankan perniagaan secara beretika serta tidak mengambil keuntungan yang berlebihan sehingga mengakibatkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

    Beliau juga menyarankan supaya pemilihan syarikat melalui tender kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada syarikat yang menggaji pekerja terdiri daripada anak tempatan.

    Beliau menjelaskan penyertaan organisasi akar umbi iaitu majlis perundingan kampung (MPK) melalui aktiviti perekonomian telah menyaksikan mereka menubuhkan syarikat perniagaan yang sah beroperasi dengan menawarkan perkhidmatan seperti memotong rumput di mana syarikat itu digerakkan sendiri oleh penduduk kampung secara berkumpulan serta dipantau oleh MPK berkenaan.

    “Ini adalah satu perkembangan yang patut dibanggakan dan sewajarnya diberi sokongan padu oleh semua pihak.

    “Projek-projek atau kerja-kerja domestik yang biasanya didominasi oleh buruh warga asing akan dapat diambil alih oleh anak-anak tempatan sepenuhnya satu masa nanti,” tambah beliau.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...