‘Makan di luar demi bantu ekonomi Britain’

LONDON, 5 JULAI – Menteri kewangan Britain semalam menggesa penduduk supaya ‘makan di luar untuk membantu’ ekonomi kembali pulih daripada kemelesetan yang dicetuskan oleh krisis koronavirus.

Komen oleh Canselor Rishi Sunak disiarkan ketika England membuka semula pub dan seluruh sektor hospitaliti selepas dikenakan sekatan selama lebih tiga bulan.

Penutupan Britain telah menjadi salah satu yang paling lama di Eropah disebabkan jumlah jangkitan virus rasmi – 44,131 – yang hanya menyusuli di belakang Amerika Syarikat dan Rusia.

Sunak berkata penutupan menjejas teruk Britain disebabkan penggunaan menyumbang kira-kira dua pertiga daripada keluaran dalam negara kasarnya.

“Ia adalah lebih tinggi daripada kebanyakan rakan kami,” beritahunya kepada akhbar The Times.

Tiga orang rakan berjalan di depan pengunjung yang makan di luar kedai di sepanjang jalan sibuk di kawasan Soho, London pada 4 Julai 2020. – AFP

Sunak berkata beliau ‘bimbang mengenai generasi yang terkesan oleh koronavirus – terutamanya orang muda yang melihat sektor hospitaliti sebagai cara mereka memasuki pasaran pekerjaan.

“Orang bertindak dengan penuh tanggungjawab, tetapi jika kami makan di luar, kami boleh melindungi pekerjaan berkenaan. Ia tidak abstrak.”

Skala sebenar masalah pengangguran Britain hanya akan didedahkan sebaik sahaja kerajaan mula mengakhiri skim cuti bertugas oleh pekerja pada Ogos.

Kerajaan buat masa sekarang menyokong 80 peratus daripada kebanyakan gaji pekerja. Namun tuntutan pengangguran masih meningkat 126 peratus kepada 2.8 juta dalam tiga bulan sehingga Mei.

Sunak akan mengeluarkan kenyataan ekonomi pada minggu depan yang akan diawasi oleh orang untuk tanda-tanda jumlah bantuan yang ingin diberikan oleh kerajaan kepada perniagaan pada masa akan datang.

Kerajaan mempunyai hutang tetapi kadar faedah adalah rendah dan kos pinjaman kekal pada tahap rendah. – AFP