Makan di premis mula dibenarkan Isnin ini

KUCHING, 17 SEPT – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan makan di premis dibenarkan di semua premis perniagaan makanan di Zon Selatan, bermula Isnin ini.

JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk operator, pekerja dan pelanggan telah mendapat dua dos vaksinasi lengkap COVID-19.

“Selain itu, pemilik premis perniagaan diwajibkan untuk mema-stikan ventilasi dan pengudaraan adalah mengikut piawaian dikeluarkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH),” menurut kenyataan itu.

Zon Selatan meliputi Daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Jawatankuasa itu juga memaklumkan tempoh operasi perniagaan lain juga dibenarkan beroperasi dari 5 pagi sehingga 10 malam sama seperti waktu operasi premis makanan.

Sementara itu, Sarawak mencatatkan 3,480 kes baharu COVID-19 hari ini selain tiga kematian baharu direkodkan dengan masing-masing di Kuching, Sarikei dan Mukah yang menjadikan angka kematian di Sarawak meningkat kepada 659 orang. – Bernama

Antara pelanggan yang sedang menikmati makan malam di premis perniagaan makanan di Kuala Lumpur, pada 14 September lalu. Sarawak akan membenarkan makan di premis perniagaan untuk mereka yang sudah menerima dua dos vaksinasi lengkap COVID-19. – AP