Makan malam di atas jambatan

PRAGUE, 1 JULAI – Orang ramai berkumpul di Jambatan Charles Prague semalam untuk meraikan berakhirnya krisis koronavirus Republik Czech dengan makan malam berkumpulan di sepanjang meja besar yang didirikan di tempat bersejarah itu.

Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dengan 10.7 juta penduduk itu kini melonggarkan kebanyakan langkah anti-virus yang diperkenalkan sebelum ini, disebabkan keadaan bertambah baik, mencatat kurang 12,000 kes koronavirus dan kurang 350 kematian. Di jambatan abad ke-14, orang ramai memakan snek dan menghi-rup minuman yang dibawa dari rumah, berkongsi makanan bersama orang lain di meja yang merentangi 500 meter.

“Semua orang perlu melakukan sesuatu di sini, membawa makanan atau bunga. Ideanya adalah untuk semua orang membabitkan diri,” beritahu pemilik kafe dan penganjur acara Prague Ondrej Kobza kepada AFP.

“Kami mahu meraikan berakhirnya krisis koronavirus dengan perjumpaan orang dan menunjukkan mereka tidak lagi takut untuk bertemu orang lain. Bahawa mereka tidak takut memakan sandwic daripada orang lain.”

Konza, 41, terkenal kerana meletakkan piano di jalan Prague, mendirikan meja catur di dataran tempatan dan menjadikan bumbung sebuah istana boleh diakses oleh orang awam.

Beberapa band memainkan lagu dan menyanyi di sepanjang meja yang dihiasi dengan bunga daisi dan persahabatan baharu terjalin semasa tetamu menjamu selera. – AFP

Pelanggan duduk di meja sepanjang setengah kilometer yang didirikan di Jambatan Charles di Prague untuk meraikan berakhirnya sekatan pandemik COVID-19 pada 30 Jun 2020. – AFP