Wednesday, February 1, 2023
23.8 C
Brunei

-

Makan seimbang semasa TBC

Tahun Baharu Cina (TBC) adalah tradisi, pertemuan dan makan bersama.

Makanan yang ditemui di atas meja semasa musim perayaan itu mempunyai maksud simbolik, yang seringkali menekankan pengaruh keberuntungan dan kekayaan khasnya.

Walaupun kebanyakan masyarakat gembira menikmati hidangan tersebut, ada yang mungkin berasa bersalah kerana memakan makanan yang banyak dan kaya kalori. Namun jangan risau, tidak semua yang awda makan semasa Tahun Baharu Cina adalah tidak baik untuk kesihatan.

Berikut adalah beberapa makanan yang boleh awda sertakan dalam menu untuk menjaga kesihatan.

Makanan-makanan berikut tidak hanya mempunyai makna simbolik yang baik, tetapi juga sihat untuk dimakan.

Jamuan steamboat dengan banyak sayuran dan protein segar adalah cara yang sehat untuk memulakan perayaan Tahun Baharu Cina. – ANN/The Star
Kacang pistasio simbol kebahagiaan bagi orang Cina, namun perut awda tidak akan bahagia jika memakannya terlalu banyak ditakuti jumlah kalori berlebihan.— AFP
Ambil contoh daripada cara pemakanan orang Korea dengan memotong bak kwa menjadi potongan kecil dan dibungkus dalam selembar daun lettuce untuk makanan ringan yang lebih sihat. — ANN/The Star
Jika awda malas menggoreng nian gao atau kuih bakul, mengukusnya adalah pilihan terbaik.— ANN/The Star

Oren mandarin

Buah oren mandarin digelar buah emas kerana ia mewakili keberuntungan. Oren mandarin adalah buah yang kaya dengan vitamin C. Ia berukuran sederhana (85g) menyediakan 24mg vitamin C, yang merupakan sepertiga daripada jumlah harian yang disarankan untuk vitamin C. Kulitnya berwarna kuning cerah datang daripada pigmen tumbuhan yang dipanggil karotenoid, yang merupakan prakursor vitamin A.

Selain daripada vitamin, oren mandarin juga kaya serat dan antioksidan. Disarankan untuk makan dua hidangan buah setiap hari. Satu oren mandarin sama dengan satu hidangan, jadi ingat untuk makan dengan bijak.

Daun sup

Dalam Bahasa Mandarin, daun sup disebut sebagai suàn, yang bermaksud ‘menghitung’ dan mewakili kekayaan yang melimpah. Daun sup menyediakan serat diet, fitokimia, vitamin dan mineral, seperti kebanyakan sayur-sayuran. Ia juga rendah kalori. Masukkan daun sup ke dalam hidangan protein awda untuk lebih serat (dan warna).

Contohnya adalah goreng daging atau tauhu dan daun sup.

Berdasarkan Garis Panduan Diet Malaysia 2020 (MDG 2020), disarankan untuk makan tiga hidangan sayur setiap hari. Awda mungkin mengalami sembelit jika tidak mengambil cukup serat, jadi ini adalah peringatan untuk makan sayur-sayuran semasa TBC.

Ikan

Ikan yú sentiasa disajikan di atas meja semasa makan malam bersama. Ini kerana ia membawa maksud ‘kelebihan’ atau ‘kelimpahan.’ Ikan adalah sumber protein yang baik, dan juga kaya dengan asid lemak omega-3. Berbanding dengan daging merah, ikan mempunyai lemak tepu yang kurang, iaitu lemak ‘buruk’.

Makan ikan secara kerap adalah baik untuk kesihatan jantung dan otak, sekaligus dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan demensia. Pertubuhan Jantung Amerika mengesyorkan dua hidangan ikan setiap minggu.

Memasak ikan dengan cara dikukus adalah salah satu cara pemakanan yang paling sihat, dan awda boleh menambah rasa semula jadi seperti halia, bawang putih, tomato atau cendawan Cina.

Kacang pistasio

Kacang pistasio dikenali sebagai ‘kacang mesra’ dalam bahasa Mandarin, kerana ia membawa simbolik kebahagiaan. Ia mengandungi banyak lemak tak tepu, iaitu lemak ‘baik.’ Kacang ini menyediakan serat diet, protein, dan vitamin serta mineral tertentu.

Walau bagaimanapun, jangan terlalu banyak makan hidangan semacam ini kerana ditakuti awda mungkin akan berisiko memakan banyak kalori.

Justeru, disarankan agar awda hanya mengambil satu genggam kacang setiap hari dan juga, pilihlah kacang pistasio tanpa garam untuk mengurangkan pengambilan natrium.

Ladu

Ladu adalah makanan yang popular dalam kalangan keluarga Cina. Ia berbentuk seperti jongkong dan membawa simbolik kekayaan. Ladu biasanya dimasak dengan cara dikukus (iaitu cara memasak yang rendah lemak dan kalori) dan mengandungi campuran yang baik daging cincang dan sayur-sayuran seperti kubis atau sawi Cina.

Ia menyediakan karbohidrat (kulit ladu), protein (daging) dan serat (sayur-sayuran), yang menjadikannya hidangan yang seimbang. Untuk pilihan yang lebih sihat, cuba gabungkan ladu dengan sayur-sayuran tambahan dalam makanan untuk meningkatkan pengambilan serat awda. Selain itu, pilihlah ladu yang dikukus, bukannya digoreng, untuk mengurangkan penggunaan minyak dalam makanan awda.

Loh Han Jai

Sesetengah keluarga makan Loh Han Jai, juga dikenali sebagai ‘Kebahagiaan Buddha’ semasa perayaan ini. Hidangan vegetarian ini terdiri daripada sayur-sayuran, serta beberapa bahan makanan vegetarian. Ini termasuk cendawan shiitake, kacang polong, jagung kecil, lobak, cendawan hitam, tauhu, kulit tauhu, mi beras dan sebagainya.

Ini boleh dianggap sebagai hidangan yang seimbang dari segi diet. Ia juga kaya dengan serat. Walau bagaimanapun, jika awda bercadang untuk menggunakan tauco sebagai penyedap untuk hidangan ini, gunakanlah dalam jumlah kecil kerana ia kaya dengan natrium.

Walaupun kelihatannya ia seperti membawa tuah, namun masih ada ruang untuk hidup dengan cara yang lebih sihat dan terjamin.

Steamboat

Sesetengah keluarga mungkin mengadakan makan malam cara steamboat.

Periuk steamboat berbentuk bulat, membawa simbolik pertemuan. Kebanyakan keluarga menyambut TBC dengan memakan steamboat. Kuali steamboat berbentuk bulat, yang simbolik dengan kepulangan ahli keluarga yang berjauhan. Makanan seumpama ini Ia adalah cara sesuai untuk kekal sihat, kerana ia mengandungi rendah lemak dan kalori.

Untuk menjadikan steamboat awda lebih sihat, pilihlah bahan-bahan yang segar dan sihat.

Tukar makanan yang diproses tinggi natrium seperti bebola daging, sosej, kek ikan, batang ketam, tauhu keju, dan lain-lain, dengan bahan-bahan segar.

Sumber protein yang lebih sihat termasuk ayam, daging lemak, ikan, udang dan tauhu.

Dan jangan lupa sayur-sayuran. Setidaknya separuh daripada bahan-bahan tersebut harus ada sayur-sayuran segar seperti kobis, bayam, tomato dan cendawan.

Berhati-hati dengan sos juga – jangan terlalu banyak sos, terutama yang berasaskan minyak seperti minyak cili atau minyak bijan, dan kicap atau kicap cair.

Sebaliknya, pilihlah bawang putih dan cili segar, dengan sedikit kicap atau cuka sebagai sos perapan awda semasa menikmati steamboat.

Pen Cai

Pen Cai adalah salah satu hidangan kegemaran sepanjang musim perayaan ini, di mana semua bahan-bahan ‘mewah’ direbus bersama-sama dalam satu periuk yang besar.

Contohnya, bahan yang digunakan adalah abalone, kerang, udang, daging panggang, dan sebagainya.

Hidangan satu periuk ini sangat serbaguna dan awda boleh menambah apa sahaja yang awda suka. Untuk menjadikannya lebih sihat, tambah lapisan sayur-sayuran seperti brokoli, kubis Cina, cendawan dan lobak.

Kurangkan jumlah kuah dan perisa, seperti kicap tiruan, kicap cair dan kicap gelap, terutamanya jika awda mempunyai ahli keluarga dengan tekanan darah tinggi.

Nian Gao

Setiap rumah akan mempunyai Nian Gao (kuih bakul) semasa festival ini. Nian bermaksud ‘tahun’ dan Gao bermaksud ‘tinggi,’ oleh itu, Nian Gao mewakili kejayaan yang lebih tinggi atau promosi. Ia terbuat daripada tepung beras pulut dan biasanya bertekstur melekit.

Beberapa anggota keluarga akan menyediakan Nian Gao goreng sebagai snek semasa TBC, di mana Nian Gao dipadankan dengan ubi keledek dan ubi kentang, kemudian digoreng. Satu keping Nian Gao goreng (50g) mengandungi 220 kcal.

Disarankan supaya awda menggunakan minyak yang minimum untuk menyediakannya, atau lebih baik lagi jika hanya dididih.

Kek nanas

Kek nenas adalah hidangan tipikal yang dimakan semasa TBC.

Perkataan nanas dalam beberapa dialek Cina, seperti ong lai dalam Hokkien dan wong lai dalam Kantonis, seperti frasa ‘kemakmuran datang.’

Kek nanas, dengan jem yang manis dan masam, adalah sangat menarik.

Justeru, awda haruslah berhati-hati apabila menikmati kek nanas atau sebarang hidangan TBC semasa berkunjung di rumah saudara-mara.

Awda digalakkan untuk mengambil satu hingga tiga keping kek nanas dalam satu mangkuk / piring kecil, dan makan secara perlahan-lahan. Jika tidak, awda mungkin akan terus makan tanpa henti.

Yee sang

Yee sang adalah salah satu ritual yang menarik semasa perayaan TBC.

keluarga, rakan atau rakan sekerja akan berkumpul di sekeliling meja dengan hidangan di tengahnya untuk memasukkan bahan-bahan secara beramai-ramai ke dalam hidangan itu dengan menggunakan penyepit sambil melaungkan hajat mereka. Ia menggambarkan suasana kebahagiaan dan perpaduan antara mereka.

Tindakan memasukkan bahan secara beramai-ramai ke dalam satu hidangan menandakan nasib baik yang melimpah, semakin tinggi bahan tersebut dilemparkan, maka semakin bertambah baik.

Kini, kita boleh melihat kotak yee sang yang telah dipersiapkan di mana-mana dengan bahan-bahan yang berwarna-warni.

Hal seumpama ini cukup menjimatkan masa, tetapi adalah lebih baik jika ia diganti dengan bahan-bahan yang lebih sihat.

Misalnya, gunakan bahan-bahan segar, terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihiris, untuk me-ningkatkan serat dan juga mengurangkan kalori.

Amalan lapan kali sehari

Terakhir, tetapi tidak kurang penting juga,awda harus ingat untuk mengamalkan lapan kali setiap hari amalan-amalan sihat berikut. Berhenti makan apabila rasa 80 peratus kenyang.

Jangan makan sampai merasa benar-benar kenyang (atau bahkan terlalu kenyang), dan selalu makan dengan perlahan.

Jika makan terlalu cepat, otak awda mungkin tidak memiliki cukup waktu untuk menerima isyarat awda sudah kenyang. Hal Ini boleh mendorong awda untuk makan secara berlebihan.

Makan malam sebelum jam 8 malam. Jangan makan ketika hampir dengan waktu tidur agar awda memiliki cukup waktu untuk pencernaan, yang mungkin dapat mengganggu tidur awda.

Makan malam terakhir, terutamanya di depan kaca TV, seringkali kita lakukan tanpa berfikir panjang akan akibatnya. Jika awda perlu makan sesuatu, kawal jumlah porsi dan pilih makanan ringan yang sihat.

Amalkan tidur kira-kira 8 jam setiap hari. Minum lapan gelas air. Pilih air biasa berbanding minuman bergula.

Jika awda menginginkan sesuatu selain daripada air atau teh Cina, pilih teh dengan kurang gula, susu soya atau wheatgrass. – ANN/The Star

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hampir 50 maut dalam insiden letupan masjid

PESHAWAR, PAKISTAN, 30 JAN – Pegawai polis antara kira-kira 47 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah masjid di dalam...
- Advertisment -