Makan yang halal mengikut cara Islam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri kedua

Makan dan minum dengan menggunakan tangan kanan sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Abu Salamah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

“Wahai budak, sebutlah nama Allah Ta‘ala (ucapan Basmalah) dan makanlah dengan tangan kananmu….” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sunat makan dengan menggunakan tiga jari mengikut sunnah Rasulullah SAW. Tidak menghembuskan nafas di dalam cawan atau gelas minuman ketika minum. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Apabila seseorang daripada kamu minum maka janganlah dia bernafas di dalam bejana.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mendahulukan memakan buah-buahan sebelum makanan yang lain. Di dalam Al-Qur’an, Allah SWT mendahulukan menyebut buah-buahan sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

Makan dan minum dengan menggunakan tangan kanan sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. – Gambar hiasan

“Dan (juga dibawakan kepada me-reka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih.” (Surah al-Waaqi‘ah: 20)

Kemudian barulah Allah SWT menyebut makanan daging sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

“Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.” (Surah al-Waaqi‘ah: 21)

Para ulama menyebutkan bahawa hendaklah didahulukan dengan memakan buah-buahan kemudian daging dan seterusnya manisan atau pemanis mulut. Etika seterusnya adalah tidak mencela makanan yang halal yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa sebagaimana yang patut dicontohi dari Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

“Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah SAW mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda tinggalkannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi sesiapa yang makan secara bersandar atau berbaring hukumnya adalah makruh.

Di dalam etika yang digariskan oleh syarak ketika makan dan minum adalah melarang kita berludah ketika sedang makan dan malah di samping sebagai larangan syarak, berludah ketika sedang makan jelas tidak sopan apalagi jika makan bersama orang lain.

Di dalam syarak juga, menghalang kita daripada meniup makanan atau minuman. Sunat minum secara tiga kali nafas. Pada tegukan yang pertama membaca Bismillah sementara membaca Alhamdulillah pada tegukan yang terakhir.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa menghabiskan sisa makanan sama ada di jari mahupun di pinggan adalah satu etika yang digariskan oleh syarak. Ini kerana keberkatan makanan yang dimakan, iaitu mungkin saja pada sisa terakhir makanan itu.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah menjilat jari-jarinya. Maka sesungguhnya dia tidak mengetahui di mana (pada makanan tersebut) letaknya keberkatan.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Mengucap syukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan rezeki yang dilimpahkannya kepada hambaNya. Terdapat banyak doa yang boleh diamalkan ketika selesai makan, antaranya yang maksudnya: “Segala pujian bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami orang-orang Islam.”

Kepentingan makanan halal tapi baik bukan hanya untuk kesihatan tubuh badan serta akal fikiran, bahkan yang lebih penting mempunyai hubungan yang rapat dengan penerimaan Allah SWT terhadap ibadat seseorang muslim. Amat-amatilah semula bahawa daging dan darah yang tumbuh dari makanan dan harta yang haram, api neraka lebih utama baginya.

Oleh kerana itu, wajarlah setiap orang Islam prihatin terhadap makanan yang disuapnya adalah halal, berkhasiat serta tidak membahayakan serta seimbang menurut keperluan tubuh badan. Demikian itulah tuntutan dalam Islam termasuk etika ketika memakannya dalam keadaan bercakap dan sopan.