Makan yang halal mengikut cara Islam

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri pertama

Pada waktu dewasa ini kepentingan kesihatan semakin diambil berat oleh berbagai pihak memandangkan timbulnya pelbagai penyakit kronik yang antaranya boleh membawa pada kematian.

Banyak inisiatif yang dibuat bagi menjamin kesihatan fizikal seperti pengambilan makanan secara teratur dan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, memakan makanan yang halal serta cara pengambilan makanan yang betul menurut Islam juga merupakan antara faktor yang membawa kepada kesihatan tubuh badan.

Kewajipan mengambil makanan halal dan baik

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya memakan makanan yang halal dan baik sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

“Wahai manusia, makanlah (makanan) dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah: 168)

Perkataan (lagi baik) bererti enak atau lazat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap muslim.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

Memakan makanan yang halal serta cara pengambilan makanan yang betul menurut Islam juga merupakan antara faktor yang membawa kepada kesihatan tubuh badan. – Gambar hiasan
Memulakan makan dan minum dengan membaca Basmalah, maka dapat menghindar syaitan turut makan atau minum bersama-sama. – Gambar hiasan

Hikmah mengambil makanan yang halal lagi baik

Kewajipan untuk memakan makanan halal bukanlah disebabkan ia berupa perintah Allah SWT semata-mata, akan tetapi terkandung di dalam perintah tersebut banyak hikmah. Antaranya:

– Selamat daripada api neraka

Memakan makanan yang halal merupakan antara perkara yang menyelamatkan umat Islam daripada api neraka kerana dengan memakan makanan yang haram ditakuti boleh mengakibatkan balasan api neraka berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

“Tiap-tiap daging dan darah yang tumbuh dari harta atau makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

– Doa dimakbulkan Allah SWT

Memakan makanan yang halal menjadi antara penyebab doa dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

“Wahai Sa‘ad! Baguskanlah makanan engkau, nescaya engkau adalah (orang yang) diperkenankan doanya.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

– Menambah cahaya dalam hati dan melembutkannya

‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad al-Hadhramiyyi asy-Syafi‘i Rahimahullah ada menyebutkan bahawa memakan yang halal itu akan menambah cahaya kepada hati serta melembutkannya.

Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan membuat taat, zuhud terhadap dunia dan suka terhadap hari-hari akhirat.

– Menjadi penawar atau ubat

Hikmah memakan makanan yang halal juga antaranya menjadi penawar atau ubat kerana Imam Syafi‘i Rahimahullah pernah berkata kepada Imam Ahmad Rahimahullah:

“Wahai Ahmad! Adapun aku makan banyak, kerana aku tahu makananmu adalah dari yang halal. Dan sesungguhnya engkau juga seorang pemurah, makanan orang pemurah adalah ubat, sedang makanan orang bakhil pula racun atau penyakit. Aku tidak makan (hanya) untuk kenyang, tetapi aku makan (juga) untuk berubat dengan makananmu itu, wahai Ahmad! Supaya aku sembuh (sihat), kerana makananmu dari yang halal…….

Melalui ungkapan Imam Syafi’i Rahimahullah menunjukkan bahawa makanan yang halal itu adalah ubat, sementara makanan yang haram itu pula adalah penyakit.

Etika makan dan minum menurut Islam

Selain memakan makanan yang halal lagi baik, Islam mengajar dan memberikan panduan kepada umatnya dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan perbuatan dan amalan sehari-hari. Umpamanya etika ketika makan dan minum, Islam tidak terlepas pandang mengenainya, bahkan kebanyakannya dapat diambil daripada perbuatan dan teguran Rasulullah SAW.

Antara etika yang digariskan oleh syarak dalam perkara makan dan minum ialah:

Tidak berlebihan dalam pengambilan makanan dan minuman sebagaimana firman Allah SWT yang tafsirnya:

“Serta makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf:31)

Allah SWT melarang hamba-hambaNya untuk berlebih-lebihan atau melampaui batas ketika makan dan minum. Apa yang dituntut adalah makan dan minum dengan sekadarnya.

Membasuh kedua tangan sebelum dan selepas makan untuk memastikan keduanya bersih dari kotoran. Apabila makanan sudah dihidang dan bersedia untuk makan, sunat membaca doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah bagi kami pada apa yang Engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkan kami daripada azab (api) neraka.”

Memulakan makan dan minum dengan membaca Bismillahi ar-rahmani ar-rahmi yang bermaksud:

Ertinya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.”

Apabila seseorang makan atau minum tanpa menyebut ucapan Basmalah, maka syaitan akan turut sama makan atau minum bersamanya. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ‘Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”.

Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadits riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad dan Muslim)

Walau bagaimanapun jika terlupa membacanya pada permulaan waktu makan atau minum, maka memadailah membacanya pada pertengahan makan atau minum dengan lafaz Bismillahi fee ‘awwalihi wa ‘aakhirihi yang bermaksud:

Maksudnya: “Dengan nama Allah pada awalnya dan pada penghujungnya.”

Perkara ini diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya:

“Apabila seseorang daripada kamu makan maka sebutlah nama Allah Ta‘ala pada awalnya. Apabila dia terlupa menyebut nama Allah Ta‘ala pada awalnya maka bacalah; Bismillahi fee ‘awwalihi wa ‘aakhirihi” (Hadis riwayat Abu Daud)