ALOR GAJAH – Bagi Zawiyah Abdul Majid, seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), makanan popular di Semenanjung seperti soto menjadi penghubung silaturahim beliau dengan masyarakat Labuan ketika bertugas di Wilayah Persekutuan itu bermula 1991.
Zawiyah, 61, yang mengakhiri per- khidmatannya pada 1994 di Labuan selepas berkhidmat selama 13 tahun dengan TLDM berkata setiap kali menyambut Aidilfitri atau Aidiladha, beliau akan memasak soto dan lauk-pauk po- pular di Semenanjung untuk dikongsikan dengan jiran-jirannya.
Beliau berkata masyarakat Labuan pula biasanya akan menghidangkan juadah tempatan seperti pastri dan kek apabila beliau berkunjung ke rumah jirannya.
Lahir pada tanggal 31 Ogos 1961 di Singapura, Zawiyah yang bertugas sebagai Laskar Kanan Komunikasi Radio (LK KMR) ketika itu menyifatkan masyarakat Labuan amat menyukai makanan tradisional Semenanjung terutama soto.
“Pertama kali saya mengunjungi jiran, saya teruja apabila mendapati mereka mempunyai beberapa meja khusus untuk meletakkan makanan terutama pastri dan kek.
“Setiap meja boleh dikatakan mempunyai pastri dan kek yang berbeza seperti kek kukus dan kek batik. Ia satu pengalaman baharu kepada saya ketika itu,” katanya yang ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Padang Keladi di sini.
Menurut Zawiyah setiap kali beliau berkongsikan masakan dengan jiran-jirannya, mereka akan membalasnya dengan menghantar satu talam penuh dengan kek dan pastri.
“Pastinya kenangan tersebut akan tersemat dalam sanubari,” kata penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) itu.
Ditanya mengenai sambutan Hari Malaysia ketika masih bertugas di La-buan, Zawiyah berkata beliau hanya menghadirinya di dalam kem sahaja.
“Selalunya akan ada acara perbarisan pegawai dan anggota tentera serta upacara menaikkan Jalur Gemilang.
“Walaupun orang awam tidak dibenarkan masuk ke dalam kem, kami tetap menghias kem dengan ratusan bendera bagi menzahirkan semangat kecintaan kepada negara,” katanya. – Bernama