MENGHIDANGKAN sesuatu yang lazat buat hidangan keluarga setentunya menjadi satu kepuasan buat ibu.
Sesekali memasak hidangan yang berasaskan makanan laut tentu akan dapat membuatkan anak-anak tidak berhenti untuk menjamu selera. Walaupun hidangan makanan laut biasa kelihatan rumit untuk disediakan namun hakikatnya ia senang untuk dimasak. Selamat mencuba!
Pari Bakar Sambal
Bahan-bahan:
½ kilo ikan pari yang dicuci dan ditoskan.
3 biji bawang besar yang dikisar.
2 biji bawang putih yang dikisar.
½ cm belacan yang dikisar.
1 biji tomato yang dikisar
5 biji cili kering yang dikisar
Kerajang aluminium atau daun pisang.
3 biji atau lebih limau kastur
Daun ketumbar yang diracik kasar
Garam dan minyak secukupnya.
Cara membuat:
Tumis bahan kisar hingga naik minyak. Gaul sebati. Perasakan gula dan garam.
Angkat dan ketepikan sambal yang sudah siap.
Untuk membakar ikan pari, ambil alat pembakar dan Alaskan dengan kerajang aluminium atau daun pisang.
Tutup ikan dengan sambal. Bakar ikan sehingga masak.
Perahkan limau dan taburkan daun ketumbar apabila ikan masak.
Sesuai dicicah dengan sambal kicap.
Lala Masak Halia
Bahan-bahan:
1 kg lala yang dibersihkan dan tos.
Sedikit minyak untuk menumis.
4 ulas bawang putih yang dicincang halus.
1 biji bawang besar yang dipotong bulat.
3 inci halia yang dipotong halus memanjang.
1 biji cili besar merah yang dipotong serong.
2 sudu sos tiram
Garam secukup rasa
Daun ketumbar sebagai hiasan.
Cara membuat:
Masak lala tanpa menggunakan minyak dan tutup kuali. Biarkan seketika sehingga lala masak dan berair.
Masukkan lala ke dalam mangkuk dan asingkan airnya.
Kemudian, masukkan sedikit minyak, tumis bawang putih, bawang merah, halia sehingga naik bau.
Masukkan cili besar merah, sos tiram dan sedikit garam. Kacau rata.
Masukkan air lala yang diasingkan tadi. Gaul dan perasakan.
Akhir sekali, masukkan lala dan gaul sekata.
Taburkan daun ketumbar sebelum dihidangkan.
Udang Masak Mentega
Bahan-bahan:
10 ekor udang bersaiz besar yang dibersih dan ditoskan.
100 gram mentega.
3 ulas bawang putih yang dicincang.
4 tangkai cili padi yang dihiris
1 tangkai daun kari yang dilurutkan dari tangkainya.
200 gram susu cair
1 sudu teh tepung jagung
Garam secukup rasa
Cara membuat:
Gaulkan udang dengan sedikit tepung jagung dan garam.
Goreng udang sehingga garing dan ketepikan.
Dalam kuali lain, tumis bawang putih dan cili padi sehingga naik bau.
Masukkan daun kari, susu cair dan tepung jagung. Kacau sehingga mendidih.
Perasakan dengan garam.
Akhir sekali, tuangkan kuah tadi ke atas udang yang telah digoreng.